Anda di sini

Amanat hamidin kepada skuad Harimau Malaya

Advertisement
 Hamidin (dua kiri) memberi kata-kata semangat kepada para pemain ketika meninjau sesi latihan skuad negara di Stadium Universiti Malaya Arena, Kuala Lumpur malam kelmarin. —Gambar Bernama
KATA PERANGSANG: Hamidin (dua kiri) memberi kata-kata semangat kepada para pemain ketika meninjau sesi latihan skuad negara di Stadium Universiti Malaya Arena, Kuala Lumpur malam kelmarin. —Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Menang selesa tanpa dibolosi. Itu amanat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin kepada skuad Harimau Malaya.

Malaysia akan menentang Timor-Leste dalam aksi pertama ‘playoff’ Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat depan (7 Jun).

Justeru sebagai pasukan tuan rumah, Hamidin berharap barisan pemain negara dapat menampilkan persembahan terbaik, dan meraih kemenangan dengan jaringan besar tanpa dibolosi.

“Sebagai tuan rumah, kita kena menang selesa tanpa dibolosi. Ini amanat saya kepada pemain dan Tan (ketua jurulatih Tan Cheng Hoe). (Jika dibolosi) ia akan dikira untuk aksi timbal balik pada 11 Jun (aksi kedua Timor-Leste sebagai tuan rumah).

“Kita faham bila perlawanan nampak senang tapi sebenarnya sukar...kadang-kadang kita terlampau teruja sampai susah dapat gol. Barisan pemain telah dimaklumkan supaya bermain mengikut tempo pasukan dan mendapatkan gol tanpa terdesak serta tidak dibolosi. Itu misi kita pada perlawanan pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau sesi latihan skuad negara di Stadium Universiti Malaya (UM) Arena di sini, malam kelmarin.

Amanat itu juga sejajar dengan pesanannya kepada pemain bahawa pengorbanan diperlukan dalam perjuangan, sebagai merujuk kepada kesanggupan mereka melupakan seketika kemeriahan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Hamidin berkata pengorbanan dilakukan pemain itu bertujuan agar mereka fokus mendapatkan latihan yang baik bagi membuktikan kekuatan pasukan dengan memenangi ketiga-tiga perlawanan termasuk aksi persahabatan berdepan Nepal di Stadium Nasional Bukit Jali, Ahad ini.

“Pengorbanan diperlukan...dalam mana-mana perjuangan, pengorbanan diperlukan untuk kita berjaya. Jadi perlunya pengorbanan daripada semua pegawai dan pemain. Maknanya untuk Hari Raya mereka akan dilepaskan sehari sebelum dan petang raya pertama kita dah mula berlatih,” katanya. — Bernama

Advertisement