Anda di sini

Teng harumkan nama Malaysia menangi pertandingan NASA

Advertisement
 Teng sedang bertanyakan perihal angkasa lepas kepada Dr Jitendra Joshi semasa persidangan video di SMA-TEGAS Digital Innovation Hub di Miri Time Square, malam kelmarin. Kelihatan sama Teo (kiri).
PENGIKTIRAFAN: Teng sedang bertanyakan perihal angkasa lepas kepada Dr Jitendra Joshi semasa persidangan video di SMA-TEGAS Digital Innovation Hub di Miri Time Square, malam kelmarin. Kelihatan sama Teo (kiri).

MIRI: Impian untuk tinggal di bulan pada 2024 merupakan pembakar semangat kepada pelajar lelaki, Teng Wei Rui, 13, salah seorang dari lima pemenang Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) Mission Patch Design Competition, baru-baru ini.

Teng, pelajar Tingkatan Satu dari Pei Min Secondary berkata, beliau mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan reka cipta misi tersebut.

“Saya tidak menyangka akan memenangi pertandingan ini kerana tahu ada beribu-ribu penyertaan dari seluruh dunia. Saya sangat teruja dan berasakan seperti bermimpi.

“Sebelum ini saya memang meminati angkasa lepas dan idea tinggal di bulan memberi motivasi kepada saya untuk menambah pengetahuan dalam bidang ini dengan menyertai pertandingan,” kata Teng ketika ditemui selepas sesi persidangan video dengan saintis NASA, Dr Jitendra Joshi di SMA-TEGAS Digital Innovation Hub di Miri Time Square, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Teng yang meminati matapelajaran Sains dan Matematik berharap cita-cita untuk menjadi seorang angkawasan pada suatu hari nanti akan tercapai.

Sementara itu, NASA Mission Patch Design Competition itu dianjurkan oleh Tynker dengan kerjasama NASA.

Sebanyak 10,000 reka bentuk dihantar, namun hanya lima pemenang dipilih termasuk tiga dari Amerika Syarikat dan seorang masing-masing dari Sri Lanka dan Malaysia.

Jurulatih Teo Yuang Teck dari Realfun Learning Centre selaku Blue Ribbon Educator yang diiktiraf oleh Tynker di SMA-TEGAS Digital Innovation Hub berkata, Teng hanya mengikuti kelas pengekodan pada Oktober tahun lepas.

“Saya berbangga kerana Teng dapat mencapai tahap ini dalam jangka masa singkat. Saya berharap lebih ramai kanak-kanak  di Miri khususnya mengikuti jejak beliau untuk mencipta aplikasi dan benda kegunaan sendiri selain mengharumkan nama mereka di dunia,” katanya.

Advertisement