Anda di sini

Tiga maut bot penumpang bertembung

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Tiga individu maut selepas bot penumpang yang dinaiki bertembung di perairan Kampung Pondo di sini malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian jam 11.40 malam berlaku apabila bot dinaiki mangsa dipandu seorang lelaki berumur 20 tahun menuju ke Pasar Ikan Kota Kinabalu dari arah Kampung Pondo.

“Apabila berada di tengah laut sebuah lagi bot  lain dari arah bertentangan yang dipandu suspek terdengar bunyi enjin bagaimanapun tidak melihat sebarang bot.

“Suspek terbabit kemudiannya melihat sebuah bot dan cuba untuk mengelak bagaimanapun tidak sempat lalu melanggar bot yang juga dinaiki mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan kedua-dua bot terbalik dan tiga penumpang maut manakala tujuh lagi penumpang bot lain berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke hospital.

“Kesemua mangsa yang meninggal kemudiannya dihantar ke Bahagian Patologi Hospital Queen Elizabeth untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Habibi berkata, suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu semasa serah diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat dan Seksyen 280 Kanun Keseksaan iaitu mengendalikan perahu dengan gopoh,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement