Anda di sini

PPM Sandakan rampas 12.70 gram syabu

Advertisement
DUA lelaki warga Filipina disyaki pemilik dadah terbabit ditahan PPM Sandakan.
DUA lelaki warga Filipina disyaki pemilik dadah terbabit ditahan PPM Sandakan.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan merampas sebanyak 12.70 gram disyaki syabu bernilai RM850 di tepi kawasan Sungai Tinosan Batu 7 di sini, pagi Jumaat.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Hj Mohamad Pajeri Ali berkata, antara yang dirampas dalam operasi Ops Pensura bermula jam 10 pagi itu ialah syabu, telefon bimbit dan sebuah bot beserta satu unit enjin.

Beliau menambah, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan oleh anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM Sandakan.

“Dadah terbabit ditemukan semasa pemeriksaan dijalankan. Kesemua dadah termasuk sebuah bot laju beserta seunit enjin dirampas.

"Turut ditahan dua lelaki warganegara Filipina berusia 38 dan 12 tahun yang disyaki sebagai pemilik dadah terbabit yang sedang bergerak masuk ke sungai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, seramai seorang pegawai dan empat anggota dari PPM Sandakan terbabit dalam operasi berkenaan.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dengan kerjasama oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Sandakan bagi membantu mengesan beberapa pihak yang dipercayai masih giat dalam pengedaran dadah di daerah ini.

"Kami percaya kegiatan itu dijalankan oleh sindiket yang menyimpan serta mengedar kepada penagih bukan sahaja di Sandakan malah beberapa daerah lain sekitarnya," katanya.

Pajeri berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 39(a)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan juga dikenakan sebatan tiga hingga sembilan sebatan.

Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Sandakan untuk siasatan lanjut.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan dan pengedaran dadah supaya menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • oleh
  • Advertisement