Anda di sini

Pelajar perlu jati diri kukuh hadapi cabaran

Advertisement
 Simoi (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta khatam sambil diperhatikan oleh Abang Mat Ali (kanan), Dr Abang Adam (kiri) serta yang lain.
SELESAI KHATAM: Simoi (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta khatam sambil diperhatikan oleh Abang Mat Ali (kanan), Dr Abang Adam (kiri) serta yang lain.

SRI AMAN: Golongan pelajar hari ini perlu mempunyai jati diri yang kukuh untuk menghadapi peredaran zaman yang semakin mencabar, demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri.

Menurut beliau, dalam dunia yang semakin canggih dan dipenuhi dengan pelbagai ilmu teknologi, kekuatan diri amat dituntut khususnya dari golongan pelajar bagi menepis pengaruh luar yang mampu menyesatkan pemikiran golongan terbabit.

“Para pelajar terutamanya yang masih menuntut seharusnya memberikan tumpuan penuh terhadap pelajaran bukannya melibatkan diri dengan kegiatan yang tidak berfaedah yang hanya merugikan diri sendiri, keluarga dan juga negara.

“Walaupun kes-kes yang melibatkan masalah sosial di kalangan pelajar kita khususnya di negeri ini berada di tahap terkawal, tetapi sebagai anggota masyarakat, kita semua harus prihatin agar golongan pelajar tidak terlibat dengan permasalahan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Daerah Sri Aman anjuran Biro Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Sri Aman dan Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Sri Aman bertempat di Dewan Hollis Tini, SMK Sri Aman di sini semalam.

Simoi berkata, kekuatan dan kecemerlangan sesebuah negara sebenarnya terletak pada sumber tenaga manusianya bukan atas pembangunan fizikal semata-mata.

“Generasi semasa adalah harapan serta pelapis kepada kepimpinan yang sedia ada. Oleh itu, para pelajar harus bersiap sedia untuk menghadapi cabaran yang hebat jika dibandingkan dengan zaman dahulu.

“Sebagai contoh dari segi penampilan serta pakaian, dahulunya fesyen pakaian hanya sejenis sahaja namun pada zaman sekarang, ada bermacam-macam fesyen yang rata-ratanya dibawa dari barat. Jadi, kita berharap para pelajar bijak mengambil yang baik dan membuang yang buruk.

“Anda harus membentuk diri sebagai individu yang bersikap positif. Kita yakin para pelajar boleh melakukan sesuatu yang terbaik untuk masyarakat serta negara dan agama dengan syarat, anda harus mempunyai wawasan yang jelas,” tegasnya.

Simoi menambah, jika golongan pelajar tidak merebut peluang untuk meningkatkan kemampuan diri, kerajaan dan negara akan rugi kerana berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk membangunkan modal insan berkualiti.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Abang Mat Ali Abang Masagus, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Dr Abang Adam Abang Deli serta guru-guru kanan sekolah yang lain.

Pada majlis itu, Simoi turut berbuka puasa bersama warga pendidik, peserta khatam dan para pelajar sekolah berkenaan.

Advertisement