Anda di sini

Lelaki ditahan kerana disyaki edar dadah

Advertisement
 Peket dadah yang berjaya ditemui polis dalam tangkapan seorang lelaki tempatan di Miri, pagi semalam.
DIRAMPAS: Peket dadah yang berjaya ditemui polis dalam tangkapan seorang lelaki tempatan di Miri, pagi semalam.

MIRI: Seorang lelaki ditahan di hadapan sebuah pondok tidak bernombor di tepi jalan Lorong 3 Quadruplex di sini pagi semalam selepas disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, serbuan terhadap lelaki berusia 39 tahun itu dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri sekitar jam 9.25 pagi.

“Hasil pemeriksaan dijalankan telah menjumpai satu kotak berwarna putih yang di dalamnya mengandungi 14 peket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine.

“Kesemua barang terbabit kemudiannya dirampas untuk dijadikan barang kes dan seterusnya suspek dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk ujian saringan awal polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Lim berkata, ujian saringan awal polis telah mendapati suspek terbabit positif dadah jenis Methamphetamine.

“Barang kes iaitu dadah jenis Methamphetamine yang dirampas itu dianggarkan seberat 18.24 gram dengan nilai kira-kira berjumlah RM3,880.

“Dalam pada itu, pemeriksaan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah sebelum ini berkaitan dengan penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Lim berkata suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Advertisement