Anda di sini

JKDM bayar balik tuntutan GST sehingga RM20b tahun ini

Advertisement
 Maher (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Penguasa Kastam Thian Mon Lee dari Stesen Kuching dengan nilai hasil tertinggi diselamatkan disaksikan Sharifah (dua kanan).
TERIMALAH: Maher (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Penguasa Kastam Thian Mon Lee dari Stesen Kuching dengan nilai hasil tertinggi diselamatkan disaksikan Sharifah (dua kanan).

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan membuat bayaran balik tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekitar RM19 bilion hingga RM20 bilion pada tahun ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Cukai Dalam Negeri) Datuk Ahmad Maher Abd Jalil berkata, sebahagian daripada tuntutan tersebut sudah dibayar, manakala selebihnya akan dibayar sehingga selesai proses audit.

“Bagi syarikat yang mempunyai tuntutan melebihi RM100,000 ke atas bagi satu tempoh, mereka diwajibkan membuat audit.

“Selagi belum selesai audit, kita akan membayar sebanyak 70 peratus daripada jumlah tuntutan, manakala 30 peratus jumlah tuntutan akan ditahan.

“Untuk itu, kita minta bantuan negeri untuk mempercepatkan proses audit supaya kita dapat menyelesaikan proses pembayaran balik tuntutan GST ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Setia dan Mesra Warga Bil 2/2019 JKDM Sarawak di Ibu Pejabat JKDM Sarawak di sini semalam yang turut dihadiri Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha.  

Tambah Maher, bagi tuntutan antara RM50,000 hingga RM100,000 pula, audit tidak diperlukan tetapi perlu lawatan tapak.

Bayaran akan dibuat pada kadar 80 peratus dan hanya baki tahanan wang sebanyak 20 peratus akan dibayar selepas lawatan tapak.

Selain isu bayaran balik GST, jabatan menurut Maher turut berdepan dengan satu lagi isu berkaitan dengan pendaftar GST yang belum menghantar penyata.

Katanya, terdapat lebih 200,000 pendaftar GST di seluruh negara yang belum menghantar penyata dengan 60,000 daripada melibatkan syarikat.

Kegagalan menghantar penyata GST menimbulkan banyak persoalan yang perlu dijawab oleh jabatan berhubung kehilangan hasil berbilion-bilion ringgit.

Dalam perkembangan berkaitan, Maher berkata beberapa cukai baharu bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

Antaranya cukai soda atau cukai minuman bergula yang mungkin akan dilaksanakan bermula pada Jun ini.

Selain itu katanya, terdapat juga beberapa cukai lain yang turut akan dilaksanakan dalam tahun ini seperti cukai digital yang mana kini menunggu kesiapsiagaan.

Sementara itu, Sharifah Halimah dalam ucapannya berkata JKDM Sarawak me-nyasarkan kutipan hasil cukai sebanyak RM1.087 bilion pada tahun ini.

Beliau berkata, sehingga 30 April tahun ini, jabatan telah melepasi sasaran bagi tempoh yang sama sebanyak 101.2 peratus.

Begitu juga dengan pungutan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di bahagian cukai dalam negeri telah merekodkan pencapaian sebanyak 124.8 peratus bagi tempoh sehingga April tahun ini.

“Kejayaan ini diperolehi melalui usaha serta kerja keras yang dilaksanakan oleh setiap lapisan pegawai melalui enam operasi yang telah dijalankan sejak bulan Januari.

“Bahagian Pematuhan dalam pada itu telah berjaya mengeluarkan sebanyak 34 notis tuntutan (BOD) yang melibatkan tuntutan berjumlah RM17,426,493.80,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement