Anda di sini

Dua suspek warga Indonesia rompak pasar raya dicekup

Advertisement

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menangkap dua lelaki warganegara Indonesia dipercayai suspek yang merompak sebuah pasar raya di Samariang, Jalan Sultan Tengah di sini pada 19 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah ACP Awang Din Awang Gani berkata, kedua-dua suspek berusia 21 dan 24 tahun itu ditangkap di sebuah hotel bajet di Jalan Green Hill di sini pada 22 Mei dan usaha memburu seorang lagi suspek sedang giat dijalankan.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek disyaki melakukan rompakan di pasar raya tempat mereka bekerja dengan memasuki pejabat pengurus mereka dan melarikan sejumlah wang dari peti besi.

“Ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan objek tajam bertindak mengikat tangan dan kaki pengurus mereka, selain turut menutup mulut mangsa sebelum mereka melarikan sejumlah wang tunai hasil jualan serta telefon bimbit mangsa.

“Kejadian berlaku sekitar jam 9.30 malam iaitu kira-kira 30 minit sebelum pasar raya tersebut tutup,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman bermula semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

“Usaha mengesan seorang lagi suspek masih giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumbat berhubung suspek boleh menyalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Bagaimanapun, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek terbabit, kita percaya kes tersebut telah  berjaya diselesaikan,” katanya.

Orang ramai juga dimohon untuk terus bekerjasama mencegah jenayah dan perkara yang mengancam ketenteraman awam.

“Segera hubungi kita menerusi talian 082-244444 atau berhubung dengan mana-mana balai polis yang terdekat sekiranya memerlukan bantuan dan tindakan lanjut,” kata Awang.

Advertisement