Anda di sini

Ayuh ...Ngap Sayot bangkitlah!

Advertisement
 Pemain Sarawak memanaskan badan sebelum memulakan latihan di Stadium Negeri Kuching malam kelmarin.
SEDIA GEMPUR: Pemain Sarawak memanaskan badan sebelum memulakan latihan di Stadium Negeri Kuching malam kelmarin.

KUCHING: Sarawak perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila melayan kunjungan Johor Darul Takzim (JDT) II di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini malam ini.

Jurulatih sementara, Mohamad Denny Da’ail menegaskan anak-anak buahnya tiada pilihan kecuali perlu bangkit dan meraih mata penting untuk memperbaiki kedudukan pasukan yang genting ketika ini.

“Kita sedar JDT II pasukan yang sukar untuk ditangani namun kita tetap menyasarkan kemenangan dan kutipan mata daripada pertemuan ini untuk memperbaiki kedudukan pasukan Sarawak.

“Ini peluang terbaik kerana kita beraksi di laman sendiri dan saya mahu semua pemain tidak mensia-siakan peluang dengan memastikan berjaya mengutip mata,” katanya ditemui pada sesi latihan pasukan Sarawak di sini malam kelmarin.

Mengenai ketiadaan tonggak pertahanan, Pedro Dias yang digantung satu perlawanan, Denny berkata pihaknya tidak perlu berasa panik sambil menambah beliau ada pelan ‘B’ untuk berdepan JDT II malam ini.

Menurut Denny, beliau masih ada pilihan lain untuk dipertaruh bagi menggalas posisi ditinggalkan pemain tinggi lampai kelahiran Brazil itu.

“Kita masih ada pemain lain untuk menggantikan tempat Pedro. Mungkin saya akan menurunkan pemain muda, Zahrul Nizwan Joe Kifli di posisi itu,” katanya.

Apa yang pasti jelas Denny, pemain sayap Nur Shamie Iszuan Amin akan kembali memperkuat jentera serangan Sarawak selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Shamie direhatkan lebih sebulan selepas terseliuh pengelangan kaki pada perlawanan menentang Terengganu FC II, 14 April lalu.

“Nur Shamie sudah boleh bermain, cuma saya belum memutuskan sama ada beliau dapat diturunkan dalam kesebelasan utama ataupun sebagai pemain gantian,” jelasnya.

Sarawak ketika ini menduduki tangga ke-10 Liga Premier 2019 selepas hanya mengumpul sembilan mata daripada 13 perlawanan.

  • oleh
  • Advertisement