Anda di sini

Tiga bot nelayan Vietnam bersama tiga tekong, 30 awak-awak ditahan

Advertisement
KAMARUSZAMAN (tengah) bersama Azhar (kanan) dan Pegawai Penyiasat Maritim menunjukkan peralatan elektrik yang diubahsuai untuk menangkap ikan.
KAMARUSZAMAN (tengah) bersama Azhar (kanan) dan Pegawai Penyiasat Maritim menunjukkan peralatan elektrik yang diubahsuai untuk menangkap ikan.

KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan tiga bot nelayan warga Vietnam di 68 hingga 76 batu nautika barat daya Pulau Layang-Layang di sini kira-kira jam 3 petang Selasa.

Pengarah Maritim Sabah Laksamana Muda (M) Kamaruszaman Abu Hassan berkata, ketiga-tiga bot yang beroperasi tanpa dokumen dan lesen sah dinaiki 30 orang awak-awak bersama tiga tekong warganegara Vietnam berumur 16 hingga 55 tahun.

“Semasa ditahan, ketiga-tiga bot sedang leka menangkap ikan dan hasil pemeriksaan lanjut di dalam bot berjaya menemukan peralatan elektrik yang diubahsuai untuk menangkap ikan menggunakan kaedah renjatan elektrik secara selaman.

“Nelayan terbabit akan membawa peralatan ini ke dalam laut sebelum merenjat ikan terutamanya di kawasan batu karang yang sukar dicapai pukat lalu menangkap ikan yang dilumpuhkan sementara itu dan dimasukkan ke dalam bekas di kapal.

“Kesemua peralatan ini adalah peralatan yang dilarang serta kaedah yang digunakan untuk menangkap ikan ini menyalahi kesalahan undang-undang selain mengancam ekosistem hidupan laut kita,” katanya.

Beliau berkata, bot nelayan masing-masing dianggarkan bernilai RM1 juta setiap satu dan rampasan hasil ikan pelbagai jenis seberat 900 kilogram diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(3)(b), Seksyen 15 dan 26(1)(c) Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu Kamaruszaman berkata, pihaknya memandang serius isu pencerobohan nelayan Vietnam yang mengaut hasil laut negara.

“Setakat ini kita sudah merekodkan enam tangkapan membabitkan pencerobohan nelayan Vietnam masing-masing tiga kes di perairan Kudat dan tiga lagi kes di sini.

“Kita juga merakamkan penghargaan kepada usaha cemerlang TLDM khususnya Markas Pemerintahan Armada Timur melalui kerjasama memerangi pencerobohan bot nelayan asing disamping menjaga keamanan dan kedaulatan negara,” katanya.

Sementara itu Kapten Azhar Bahrum TLDM berkata, TLDM sentiasa menjalankan operasi di lautan bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara terpelihara.

  • oleh
  • Advertisement