Anda di sini

Nelayan hilang dipercayai terjatuh di laut semasa tangkap ikan

Advertisement
ANGGOTA PPM semasa menjalankan SAR di perairan Teluk Villa.
ANGGOTA PPM semasa menjalankan SAR di perairan Teluk Villa.

PUTATAN: Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika menangkap ikan di perairan Teluk Villa di sini pagi Jumaat.

Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Adjick @ Thomas Totu, 68.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata maklumat awal kejadian apabila mangsa keluar dari rumahnya di Kampung Linsuk Jalan Sondoh pada jam 4 pagi.

“Mangsa kemudiannya turun ke laut dari jeti Nelayan Kampung Pasir Putih di sini untuk menangkap ikan.

“Pada jam 8.50 pagi kemudian isteri mangsa berumur 66 tahun dimaklumkan oleh rakan suaminya yang mendakwa mangsa hilang di laut dan gagal dikesan.

“Rakan mangsa hanya menemukan bot mangsa dengan pukat yang masih melilit di enjin bot,” katanya.

Beliau berkata bertindak dengan kejadian pihaknya menggerakkan botronda RH29 bersama empat anggota untuk menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di lokasi kejadian.

“Buat masa ini mangsa belum ditemukan dan operasi SAR masih dijalankan dengan bantuan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta komuniti nelayan lain,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement