Anda di sini

Kitar semula sampah jadikan duit

Advertisement
ZURAIDA (tengah) merakamkan kenangan bersama para penerima sumbangan dan tetamu jemputan lain pada majlis itu.
ZURAIDA (tengah) merakamkan kenangan bersama para penerima sumbangan dan tetamu jemputan lain pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus perkasakan program kitar semula untuk jana sampah menjadi duit.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, sisa makanan, kertas atau plastik yang dikitar semula mampu memberi pendapatan kepada orang awam.

Katanya, menerusi program berkenaan setiap sampah yang dikumpul akan diberikan mata ganjaran.

"Mata ganjaran yang terkumpul akan ditukar kepada pemulangan atau penebusan untuk mendapatkan bahan makanan atau wang tunai.

"Di peringkat Semenanjung kita sudah bergerak aktif, namun di Sabah masih kurang aktif.

"Justeru, dengan adanya Penggerak Dasar Komuniti Negara di setiap kawasan parlimen, saya harap mereka dapat menjalankan program kitar semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Infaq Perdana Ramadan anjuran Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT Cawangan Sabah di sini pada Rabu.

Zuraida berkata, selain menjadikan Sabah lebih bersih, usaha yang dilaksanakan KPKT itu dapat membantu rakyat terutama golongan B40 menjana pendapatan.

Menurutnya, KPKT dalam perancangan untuk menjalankan program membersihkan lebihan longgokan sampah yang banyak dalam negara dengan memperkenal teknologi 'waste to energy' (WTE).

Katanya, sekurang-kurangnya satu WTE setiap negeri menjelang penghujung 2020.

Dalam pada itu, beliau mahu setiap Penggerak Dasar Komuniti Negara di negeri ini supaya saling bekerjasama dalam menyampaikan polisi kerajaan kepada rakyat dari setiap peringkat akar umbi.

Pada majlis itu, Zuraida turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa persatuan, surau dan wakil penggerak cawangan Sabah.

  • oleh
  • Advertisement