Anda di sini

Jaga kebersihan sepanjang Ramadan

Advertisement
JAUJAN (tiga kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima OKU pada Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di salah sebuah resort terkenal di Kudat.
JAUJAN (tiga kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima OKU pada Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di salah sebuah resort terkenal di Kudat.

KUDAT: Pemilik premis perniagaan dan kedai makan diingatkan supaya sedar akan tanggungjawab menjaga kebersihan di persekitaran masing-masing sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, memupuk kesedaran dalam diri adalah langkah pencegahan awal yang penting dalam membendung isu lambakan sampah sarap di merata-rata tempat.

"Kita di pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah mengadakan kempen kebersihan sebelum Ramadan lagi di premis perniagaan dan gerai makanan.

"Malah, kita juga menggalakkan pengurangan penggunaan plastik, polisterin dan straw yang menjadi tumpuan utama kita memandangkan bahan ini sukar dilupuskan.

"Bagaimanapun, meski sudah ada mekanisma diwujudkan dalam mengurangkan masalah ini, apa yang penting ialah kesedaran rakyat mengenai tanggungjawab mereka kerana sampah sarap ini datang dari kita sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) dan asnaf anjuran KKTP dan PBT seluruh Sabah, di sini pada Rabu.

Jaujan berkata, rakyat seharusnya mencontohi amalan rakyat negara Jepun yang sentiasa menekankan simbol kebersihan sebagai lambang kemajuan bangsa.

Katanya, kementeriannya juga dalam usaha menjadikannya sebagai teras, sekali gus menerapkan amalan itu di setiap kempen kebersihan yang dijalankan bagi menjadikan Sabah sebagai sebuah negara bebas daripada sampah sarap.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri KKTP merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Shafie Apdal kerana memberi saguhati raya kepada semua penjawat awam di negeri ini.

Katanya, lebih menggembirakan, pemberian itu tidak mengira kapasiti dan kakitangan tetap mahupun gaji hari turut merasai pemberian yang bernilai RM500 itu.

"Apa yang penting bukan angka, tetapi keikhlasan kerajaan negeri dalam menyantuni hati rakyat yang memerlukan bantuan daripada kerajaan baharu ini sempena menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal tiba," katanya.

Mengenai majlis, Jaujan berkata seramai 200 penerima bantuan terdiri daripada anak yatim, golongan OKU dan asnaf terpilih sekitar daerah ini menerima bantuan duit raya sempena majlis iftar berkenaan.

Katanya, penganjuran majlis seumpama itu adalah pendekatan kerajaan baharu melalui kementeriannya dalam mendampingi serta membela rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman agama.

  • oleh
  • Advertisement