Anda di sini

Pesta Kaamatan perayaan istimewa

Advertisement
CHRISTINA melawat pameran kraftangan yang dipamerkan sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tawau.
CHRISTINA melawat pameran kraftangan yang dipamerkan sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tawau.

TAWAU: Pesta Kaamatan disifatkan perayaan istimewa yang mampu menonjolkan semangat persaudaraan, persahabatan dan perpaduan kaum sesama rakyat di negeri ini.

 Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, Kaamatan yang sinonim dengan masyarakat Kadazan Dusun, Murut dan Rungus kini turut diraikan bersama kaum lain.

 “Saya juga menghadiri sambutan pesta ini di daerah lain dan bangga dengan semangat persaudaraan yang ditunjukkan meskipun berlangsung pada Ramadan,” katanya.

 Christina berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tawau di Dewan Sri Sin Onn di sini, pada Sabtu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu turut berharap supaya rakyat Sabah mempertahankan keharmonian dikecapi untuk kesinambungan warisan bangsa.

 “Kita gembira ramai yang hadir dan sekaligus menunjukkan rakyat sentiasa menyokong usaha kerajaan memelihara keunikan dan kepelbagaian warisan budaya tradisi.

 “Termasuklah sukan tradisi, Sugandoi, makanan dan minuman tradisi,” katanya, sambil turut memuji komitmen dan penglibatan sektor korporat menaja program kebudayaan.

 Menurutnya, penganjuran program kebudayaan seperti Kaamatan memberi peluang kepada masyarakat berbeza kaum mengenali, memahami dan menghargai adat budaya kaum lain.

 Penyelaras Persatuan Kebudayaan KadazanDusun (KDCA) Daerah Tawau dan Kunak, Gelord Emol berkata, Pesta Kaamatan kali ini dihadiri kira-kira 500 pengunjung.

 “Tahun ini kali pertama kita anjurkan Pesta Kaamatan dalam era kerajaan baharu dan diadakan di Dewan Sri kerana sebelum ini di Kg Tass Andrassy, Eastern Plaza dan Dewan Masyarakat Tawau.

 “Kebetulan pula dijalankan pada bulan puasa, bagaimanapun kita amat berterima kasih di atas sokongan rakan-rakan Muslim yang turut hadir memeriahkan acara ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement