Anda di sini

KPDNHEP jamin barangan perlu mencukupi di Sabah

Advertisement
GEORGIE (kiri) menunjukkan bungkusan minyak masak semasa lawatan KPDNHEP Sabah ke atas pemborong barangan perlu.
GEORGIE (kiri) menunjukkan bungkusan minyak masak semasa lawatan KPDNHEP Sabah ke atas pemborong barangan perlu.

KOTA KINABALU: Bekalan barangan perlu untuk perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Raya Aidilfitri di Sabah tahun ini mencukupi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah Georgie Abas berkata, hasil pemeriksaan ke atas pemborong barang perlu dan pembungkus semula minyak masak mendapati kesemua bekalan adalah mencukupi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan bimbang dan tidak membuat pembelian panik semasa musim perayaan ini.

Katanya, sepanjang bulan ini belum ada lagi aduan diterima berhubung kekurangan barangan kawalan seperti gula pasir, tepung gandum, minyak masak dan Gas Petroleum Cecair (LPG).

"Pemantauan di premis-premis perniagaan diadakan secara harian termasuk pada hujung minggu dan hari cuti.

"Pemantauan dijalankan oleh pegawai penguatkuasa dengan bantuan pegawai pemantau harga di premis seperti bazar Ramadan, kedai runcit, pasar basah, pemborong dan pembekal utama.

"Di samping itu, KPDNHEP Sabah juga menjalankan penguatkuasaan ke atas peniaga-peniaga yang gagal mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke atas syarikat pemborong dan pembungkus minyak masak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini.

Dalam pada itu, Georgie berkata setakat 15 Mei tahun ini, sebanyak 16,604 premis perniagaan diperiksa dan sejumlah 743 kes dihasilkan di seluruh Sabah.

Jumlah berkenaan, jelasnya, melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2.15 juta.

"Sebanyak 436 kes dikompaun dengan jumlah kutipan kompaun sebanyak RM138,300. Sejumlah 17 kes turut didaftarkan di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM65,000.

"Dari segi aduan, dalam tempoh yang sama sebanyak 474 aduan diterima dan kesemuanya sudah disiasat," katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sabah V Ravichandran.

  • oleh
  • Advertisement