Anda di sini

KPDNHEP lulus notis jualan murah kepada 180 premis

Advertisement
RAVICHANDRAN (kiri) menunjukkan harga mampu milik yang ditawarkan oleh salah sebuah premis pakaian raya ketika OPS Pakaian Raya.
RAVICHANDRAN (kiri) menunjukkan harga mampu milik yang ditawarkan oleh salah sebuah premis pakaian raya ketika OPS Pakaian Raya.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menerima dan meluluskan notis jualan murah kepada 180 premis di seluruh Sabah.

Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Sabah Ravichandran A/L Vadivellu berkata, pemohonan harga jualan murah berkaitan pakaian raya itu diterima sejak 13 Mei lepas, adalah bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

"Setakat ini, sebanyak 27 premis pakaian raya sudah kita periksa dan mendapati mereka semua mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Kita juga keluarkan lima notis pengesahan harga kepada premis terpilih bagi mendapatkan maklumat harga barangan semasa dan sebelum (12 bulan ke belakang)," katanya ketika ditemui pada Ops Pakaian Raya di sebuah premis pakaian raya di sini.

Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada orang ramai, Ravichandran berkata pihaknya tidak mendapati sebarang kenaikan harga secara mendadak dari segi jualan pakaian raya tahun ini.

Malah, katanya, melalui pemeriksaan yang dibuat mendapati harga ditawarkan oleh premis terlibat adalah jauh lebih rendah daripada harga biasa.

"Tiada sebarang premis yang didapati melakukan kesalahan dan diberikan notis kesalahan mengikut Seksyen 14(1) Mengambil Keuntungan Tinggi yang Tidak Munasabah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP).

"Jualan pakaian bagi peringkat umur juga didapati mengalami penurunan harga yang lebih rendah dengan pemberian diskaun sebanyak 40 hingga 50 peratus.

"Ini menunjukkan peniaga di Sabah cukup prihatin terhadap suasana perayaan yang akan disambut oleh masyarakat setempat dengan memberi harga mampu milik bagi pakaian raya," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya mana-mana premis didapati melakukan kesalahan mencatut, peniaga berkenaan boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan denda.

Katanya, bagi pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan berikutnya didenda tidak melebihi RM1,000,000.

Bagi perseorangan pula, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan berikutnya akan didenda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau keduanya sekali.

  • oleh
  • Advertisement