Anda di sini

Guna dadah: Farid Kamil dipenjara sembilan bulan

Advertisement
 

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari (gambar) akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di dalam penjara selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atasnya kerana menggunakan dadah jenis ganja tahun lepas.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Farid Kamil, 38, dan memerintahkannya  menjalani hukuman itu bermula hari ini serta mengarahkan dia berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Beliau berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Farid Kamil.

Mahkamah juga tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman. Farid Kamil akan dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu.

Terdahulu Farid Kamil memilih untuk berdiam diri semasa hari pertama prosiding membela diri terhadap pertuduhan dadah itu.

Sekiranya tertuduh memilih untuk berdiam diri semasa membela diri, mahkamah tiada pilihan lain selain menyabitkan tertuduh dan menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Sebelum itu, peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil memohon supaya mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara dan mengenakan hukuman denda kerana tertuduh adalah penanggung utama kepada seorang isteri dan dua anak.

“Tertuduh bekerja sendiri sebagai pengarah dan pelakon. Sekiranya dipenjarakan tertuduh sukar untuk menanggung keluarganya.

Tambahnya lagi, anak guamnya sebelum ini juga sudah mengaku salah atas satu pertuduhan pilihan iaitu memberi maklumat palsu yang melibatkan kes sama.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam selain mengambil kira kekerapan kes sedemikan berlaku. 

“Jadi tidak perlu diskaun diberikan kepada tertuduh memandangkan tertuduh sebelum ini tidak membuat pengakuan bersalah" katanya. 

Mengikut pertuduhan, Farid Kamil didakwa menggunakan dadah tersebut dikenali sebagai THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Pada 30 April lepas, Farid Kamil diperintah membela diri atas pertuduhan itu dan diberi pilihan sama ada berdiam diri, memberi keterangan tanpa sumpah di luar kandang saksi atau memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi.

Tertuduh memilih memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi namun menukar pilihannya kepada berdiam diri hari ini. 

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 18 Disember 2018. - Bernama 

Advertisement