Anda di sini

‘Bomoh’ China mengaku tidak bersalah

Advertisement
 Li dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret semalam.
DIDAKWA: Li dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret semalam.

SIBU: Seorang ‘bomoh’ wanita warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menipu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali yang mendengar kes, tidak membenarkan tertuduh bebas dengan ikat jamin dan menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan, Li Yufen, 34, dari Guangdong China didakwa menipu seorang wanita berumur 44 tahun pada 8 Julai 2018, kira-kira jam 7.45 pagi di sebuah pasar raya di Jalan Langsat.

Li didakwa menipu mangsa untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM5,000, seutas rantai, seutas gelang dan sebentuk cincin.

Bagi pertuduhan itu, Li yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuching dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Seksyen ini membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun serta tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan denda jika sabit dengan kesalahan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Li ditahan pada 21 April lepas oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Miri di Miri.

Li dikatakan mempunyai empat lagi rakan subahat termasuk dua daripadanya rakan senegara, seorang warga Indonesia dan seorang lagi rakyat tempatan.

Siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam kes penipuan di beberapa daerah di negeri ini dengan menyasarkan warga emas sebagai mangsa.

Advertisement