MIRI: Penyakit Diabetes Jenis 2 dijangka terus meningkat kepada 23.4 peratus pada 2020 dan 31.3 peratus pada 2025.
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, peningkatan saban tahun yang ditunjukkan statistik ini membimbangkan dan boleh menjejaskan sosioekonomi negara dalam jangka panjang jika tidak dikawal.
Beliau berkata, di Malaysia penyakit diabetes kian meningkat seperti penyakit kardiovaskular yang lain seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok.
“Setakat ini seramai 657,839 pesakit berdaftar di National Diabetes Registry (NDR) dan hampir semua pesakit iaitu 653,326 didiagnos dengan diabetes mellitus jenis 2 atau T2DM.
“Peningkatan penyakit ini bermakna jumlah perbelanjaan bagi merawat turut bertambah. Dianggarkan 16 peratus perbelanjaan negara untuk peruntukan penjagaan kesihatan.
“Maksudnya, Malaysia berada antara 10 negara teratas di dunia yang paling banyak berbelanja untuk merawat diabetes dengan anggaran RM2.4 bilion,” katanya.
Lee berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam Gala merangkap Konsert Amal ‘We Care 4.0’ anjuran Diabetes Malaysia Cawangan Daerah Miri di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Lee menambah, 73 peratus perbelanjaan meliputi penjagaan hospital dan ambulatory kesan daripada kawalan gula yang teruk dan hanya tujuh peratus diabetes daripada kos penjagaan berkaitan diabetes dibelanjakan untuk ubat diabetik.
Berdasarkan statistik kata Lee, data 2014 menunjukkan 73 peratus kematian disebabkan penyakit tidak berjangkit manakala 39 peratus disebabkan penyakit kardiovaskular yang berkaitan dengan diabetes mellitus.
Katanya, orang yang menghidapi kencing manis berisiko menghidapi penyakit kebas kaki, buah pinggang rosak, strok, sakit jantung dan rosak deria penglihatan 200 peratus lebih tinggi daripada orang yang bebas diabetes.
“Justeru fokus utama ialah meningkatkan penjagaan pesakit diabetes, langkah pencegahan, diagnosis awal dan kawalan baik diabetes dalam meningkatkan kadar hidup dengan tambahan manfaat penjagaan kesihatan yang efektif,” katanya.
Lee turut mengucapkan tahniah kepada Diabetes Malaysia Cawangan Daerah Miri kerana berjaya menganjurkan banyak aktiviti untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit ini selain membantu pesakit di sini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Miri Adam Yii, Pengerusi Diabetes Malaysia Cawangan Daerah Miri Ting Chiew Moi, Naib Presiden Diabetes Malaysia Jong Koi Chong dan dermawan Datuk James Ling Suk Kiong serta penaja.