Anda di sini

Persembahan Kesenian Pesta Kaamatan semarak kepelbagaian etnik Sabah

Advertisement
PETER (lima, kiri) menandatangani poster sebagai gimik pelancaran Majlis Sodop Pisompuruan 2019.
PETER (lima, kiri) menandatangani poster sebagai gimik pelancaran Majlis Sodop Pisompuruan 2019.

PENAMPANG: Penganjuran Persembahan Kesenian yang julung kali diadakan bersempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini akan menyemarakkan lagi kepelbagaian budaya etnik di Sabah.

Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2019 Datuk Peter Anthony berkata, program itu juga adalah cara terbaik memperlihatkan semangat bersatu padu dalam kalangan pelbagai etnik untuk memelihara budaya dan bangsa.

"Saya percaya penganjuran program seumpama ini sempena perayaan etnik seperti Pesta Kaamatan merupakan cara terbaik bagi memupuk keharmonian, perpaduan dan toleransi kaum dalam masyarakat majmuk seperti negeri Sabah.

"Oleh itu, saya menyarankan supaya kita dapat saling berkongsi meraikan perayaan-perayaan etnik yang terdapat di negeri kita," katanya ketika berucap melancarkan sambutan Sodop Pisompuruan (Malam Perpaduan) di sini, malam Sabtu.

Dalam pada itu, Peter berkata rakyat Sabah seharusnya berbangga kerana meskipun mempunyai pelbagai kaum dan etnik yang hidup dalam satu bumbung, silaturahim dan hubungan antara satu sama lain tetap terjalin erat.

Katanya, perbezaan dari segi pegangan, agama, amalam budaya, bahasa bukan menjadi penghalang untuk hidup harmoni dan saling memahami.

"Inilah cerita sebenar kemajmukan Sabah dan Malaysia. Walau apa pun agama dan budayanya, kita terus hidup dalam keadaan yang sangat rukun dan damai serta saling mendukung antara satu sama lain.

"Ini juga faktor penentu untuk kita menjadi kuat dan maju iaitu masyarakat dari pelbagai kaum dan keturunan dapat bersatu dalam kemajmukannya," jelasnya.

Sodop Pisompuruan adalah titik permulaan sebelum acara Sugandoi dan Unduk Ngadau sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri ini yang diraikan sepanjang Mei setiap tahun.

Selain itu, turut berlangsung Pertandingan Lagu-Lagu Lama (Songkotoun), Anugerah Juara Lagu Kadazan Dusun Murut (KDM), Pertandingan Bercerita dalam Bahasa KDM, (Puisi Lisan Tradisi (Hiis), Konsert Iscep dan Pertandingan Tarian Etnik Kreatif KDM yang diadakan setiap minggu.

  • oleh
  • Advertisement