Anda di sini

SPR nasihat pengundi keluar awal

Advertisement
AZMI meninjau kakitangan SPR bertugas di pusat pengiraan undi berkelompok.
AZMI meninjau kakitangan SPR bertugas di pusat pengiraan undi berkelompok.

SANDAKAN: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Azmi Sharom menasihati pengundi supaya keluar mengundi lebih awal dan jangan menunggu sehingga di saat akhir.

“Bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi (Voter’s Card) atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.

“Manakala, bagi pengundi yang tidak menerima Voter’s Card atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Beliau berkata semakan boleh dibuat melalui saluran-saluran berikut layari portal SPR di www.spr.gov.my , membuat panggilan telefon ke talian 03-88927018, menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak atau hantar SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak> NO.KAD PENGENALAN).

“Bagi pengundi yang baharu membuat semakan, mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat berikut di pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya dalam satu sidang media di pusat pengiraan undi berkelompok di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua.

Azmi berkata, para pengundi juga adalah diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan voter’s card atau catatan maklumat daftar pemilih serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Voter’s Card dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata SPR sekali lagi menegaskan kepada semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada Hari Mengundi agar tidak memakai baju yang mempunyai simbol Parti atau gambar calon atau apa-apa bahan kempen.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki Pusat Mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian,” katanya.

Azmi berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak mengugat ketenteraman awam.

“Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” tegasnya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru antara calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas.

Calon DAP; Vivian Wong Shir Yee ditentang oleh calon PBS; Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon bebas iaitu Chia Siew Yung, Hamza@Hamzah A. Abdullah dan Sulaiman Abdul Samat.

  • oleh
  • Advertisement