Anda di sini

Polis tumpas geng curi motosikal, kereta

Advertisement
PERALATAN mencuci kereta yang turut ditemukan di dalam kereta yang dinaiki suspek.
PERALATAN mencuci kereta yang turut ditemukan di dalam kereta yang dinaiki suspek.

KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan dua kupulan yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan curi motosikal dan kereta di sekitar sini sejak penghujung tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, melalui hasil risikan serta siasatan berterusan pihaknya berjaya menahan dua lelaki yang menaiki kereta sedan dipercayai dicuri dalam satu pintasan di Kampung Air berdekatan sebuah stesen minyak pada Isnin.

"Kereta yang dinaiki dua suspek warga Filipina berumur 38 hingga 46 tahun menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai dilarikan dari Tawau ke sini.

"Hasil soal siasat juga mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam 12 kes curi kenderaan termasuk di sini, Penampang, Papar serta Tawau," katanya.

Tambahnya, pihaknya turut merampas satu set peralatan mencuci kereta yang dipercayai turut dicuri oleh suspek di premis mencuci kereta di sekitar Putatan.

Menurutnya, pihak polis kini sedang mengesan dua lagi rakan sejenayah kumpulan ini yang masih bebas masing-masing dikenali sebagai Budak, 18 dan Jamal, 20, warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Habibi berkata, tiga lagi suspek berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan masing-masing di sekitar pusat bandar dan sebuah rumah di Jalan Tuaran Bypass Inanam di sini.

"Hasil tangkapan berjaya merampas dua motosikal yang dipercayai dicuri dan suspek ini dipercayai terlibat dalam lima kes curi motosikal di daerah ini," katanya.

Habibi berkata, kedua-dua kumpulan ini dipercayai mempunyai kaitan jenayah dengan menyerahkan kenderaan yang dicuri kepada seorang lagi suspek yang masih bebas dikenalpasti sebagai Gatok.

"Gatok yang juga perancang utama dalam kegiatan ini kemudiannya dipercayai akan menjual kenderaan terbabit kepada pihak tertentu.

"Polis kini sedang mengesan Gatok, 34, seorang warga tempatan yang dipercayai masih berada di sekitar daerah ini," katanya.

Habibi meminta orang ramai yang melihat suspek agar menghubungi pihak polis dengan kadar segera bagi menyelesaikan kes curi yang dilakukan oleh kumpulan ini.

  • oleh
  • Advertisement