Anda di sini

PMW perkenal suasana kampung pada Ramadan ini

Advertisement
 Pengunjung mencuba untuk merasai hidangan shawarma ayam.
SEDAP: Pengunjung mencuba untuk merasai hidangan shawarma ayam.

MIRI: Berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan lebih bermakna dan meriah dengan pengenalan suasana kampung yang diperkenalkan oleh Pullman Miri Waterfront (PMW) di Pullman Kitchen pada tahun ini.

Cef Eksekutif Brian Bennet Chong bersama pasukannya menyediakan pelbagai pilihan masakan Melayu termasuklah hidangan istimewanya kambing panggang dengan nasi oozi, nasi arab ayam berempah dan hidangan gulai kawah seperti ayam masak merah madu, udang masak lemak, daging rendang, kambing kurma, sayur lodeh, paceri nanas dan pelbagai lagi.

Seiring dengan tema bufet Ramadan tahun ini yang berkonsepkan kampung tradisional, pasukan dapurnya telah memperkenalkan idea enam gerai yang menyediakan makanan popular seperti cucur, rojak buah, somtam (salad betik Thailand), apam balik dan air batu campur (ABC).

Bukan itu sahaja, para pengunjung juga boleh menikmati hidangan pencuci mulut, makanan ringan dan pastri seperti karipap kari daging, bubur kacang merah, ubi keledek dengan santan, bubur cha cha, kerepek ubi dan tidak ketinggalan yang perlu ada pada bulan Ramadan iaitu kurma.

 Hidangan kambing golek yang disediakan setiap tahun pada bulan Ramadan ini menjadi tumpuan para pengunjung.
POPULAR: Hidangan kambing golek yang disediakan setiap tahun pada bulan Ramadan ini menjadi tumpuan para pengunjung.

Para media dan juga beberapa tetamu jemputan telah dibawa merasai sendiri kesemua hidangan ini dalam satu majlis pratonton Bufet Ramadan yang diadakan pada malam kelmarin.

Majlis turut diserikan dengan persembahan gamelan dan angklung oleh sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Miri.

Promosi tempahan awal telah bermula pada 1 April hingga 17 Mei pada harga RM78 untuk dewasa dan RM39 untuk kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun.

Harga biasa pula dijual pada harga RM98 untuk dewasa dan RM49 untuk kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun. Bufet Ramadan Suasana Kampung ini bermula dari 6 Mei sehingga 4 Jun bermula jam 6.30 petang hingga 10 malam.

Pengunjung yang berminat untuk melakukan tempahan digalakkan untuk menelefon atau menghantar teks pesanan ringkas melalui WhatsApp di nombor 016-8639527 atau hubungi terus Pullman Kitchen di talian 085-323888.

Selain itu, antara tradisi tahunan yang diperkenal PMW sejak 2017 ialah memaparkan replika masjid di lobi hotel di mana tahun ini pasukan pastri diketuai Cef Pastri Shahrul telah membina replika seni bina ikonik di Kuching iaitu Masjid Lama Negeri yang dikenali sebagai masjid berwarna merah jambu.

Proses membina replika masjid itu telah bermula sejak April menggunakan 28 kilogram gula aising dan 60 biji telur dan dekorasi ini mula dipertontonkan kepada umum bermula 3 Mei lalu.

Advertisement