Anda di sini

PKS digalak ambil peluang tingkat kemahiran digital

Advertisement
DARELL (dua, kanan) meninjau pameran barangan salah seorang PKS yang berjaya melembarkan sayap perniagaan melalui atas talian. Turut kelihatan Marc (kanan).
DARELL (dua, kanan) meninjau pameran barangan salah seorang PKS yang berjaya melembarkan sayap perniagaan melalui atas talian. Turut kelihatan Marc (kanan).

KOTA KINABALU: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digalakkan supaya mengambil peluang meningkatkan kemahiran digital melalui inisiatif yang diperkenalkan oleh Google Malaysia di bawah Program 'Grow With Google'.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata, inisiatif yang dilaksanakan secara percuma itu mampu mengembangkan perniagaan PKS dengan memanfaatkan sepenuhnya ekonomi digital sedia ada.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Google kerana memulakan usaha penting ini untuk membantu mewujudkan peluang ekonomi untuk semua rakyat Malaysia.

"Difahamkan, melalui inisiatif ini, Google berhasrat membantu menyediakan akses terbaik kepada rakyat Malaysia dari segi latihan dan peralatan percuma untuk mengembangkan kemahiran, kerjaya, dan perniagaan mereka.

" MITI amat mengalu-alukan inisiatif yang bertepatan ini dan ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memajukan ekonomi digital negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Peningkatan Kemahiran Digital : Grow With Google di sini.

Selain itu, Kementeriannya melalui Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp Malaysia) berusaha meningkatkan ekonomi negara dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital bagi meningkatkan hasil pengeluaran dari PKS.

Katanya, setakat ini, PKS hanya dapat meyumbangkan lebih daripada 37 peratus kepada KDNK Malaysia, dengan menggaji tenaga kerja sebanyak 66 peratus dan mewakili 98.5 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan.

" Walau bagaimanapun, ada ruang untuk PKS berkembang untuk menyumbangkan kurang daripada 20 peratus kepada Malaysia melalui jumlah eksport," katanya.

Sehubungan itu, Darell mengajak PKS supaya mengikuti pola kejayaan usahawan-usahawan yang sudah berjaya mengembangkan sayap perniagaan ke peringkat global melalui kemahiran atas talian.

Katanya, ia seiring dengan apa yang digariskan dalam Rangka Tindakan Strategik bagi mempercepat pertumbuhan E-Dagang di Malaysia.

Pada masa sama katanya, kerjasama antara pelbagai syarikat swasta juga amat diperlukan untuk bersama kerajaan memainkan peranan dalam meningkatkan kemahiran digital PKS tempatan.

Sementara itu, Ketua Negara Google Malaysia Marc Woo berkata, peluang mendapatkan kemahiran digital secara percuma ini perlu direbut oleh ahli perniagaan dan rakyat di negara ini.

Justeru katanya, dengan pelancaran Grow With Google ini, penyertaan dalam kalangan ahli perniagaan, usahawan, pencari kerja mahupun pelajar akan meningkat dalam menimba ilmu kemahiran digital baharu.

Terdahulu, seramai 100 orang terdiri ahli perniagaan kecil dan sederhana dari Sabah dan Sarawak menyertai Bengkel Mahir Digital Bersama Google selepas majlis pelancaran berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement