Anda di sini

42 usahawan Malaysia timba ilmu di kampus Alibaba, China

Advertisement
 Hafidz (dua kanan) bergambar bersama rombongan dari Malaysia yang menyertai program Alibaba Netrener.
TIMBA ILMU: Hafidz (dua kanan) bergambar bersama rombongan dari Malaysia yang menyertai program Alibaba Netrener.

MIRI: Pengalaman berharga dialami 42 usahawan dari Malaysia yang diberi peluang menyertai program Alibaba Netrener di kampus Alibaba di Hangzhou, China bermula 14 hingga 24 April lalu.

Kursus ditawarkan Alibaba Business School kepada usahawan dalam pelbagai bidang seperti pembuatan, kewangan, e-dagang, logistik dan Teknologi Maklumat (IT).Berkongsi pengalaman, Pengarah Urusan Syarikat Iana Mohammad Hafidz Rohani berkata, peserta dipilih melalui proses pemilihan ketat di mana hampir 300 peserta telah memohon dan hanya 84 disenarai pendek untuk temu duga.

Peserta dipilih terdiri daripada pelbagai bidang perniagaan untuk mewujudkan perbincangan dan idea yang meluas.

Hafidz merupakan pengusaha kek lapis Sarawak dan antara wakil dari negeri ini yang mengikuti program lawatan sambil belajar itu.

Menurut Hafidz, antara yang menarik perhatian beliau adalah semasa sesi bersama Yu Yuan, salah seorang rakan kongsi Kumpulan Alibaba.

Yu menerangkan tentang ‘Tao Alibaba’ yang berjaya dibentuk sehingga menjadikan syarikat ini berjaya membentuk semangat kerja di kalangan 110,000 pekerja di kumpulan ini.

“Yu berkata visi dan misi syarikat yang baik seharusnya dapat dirasai kewujudannya oleh semua.

“Bagi mewujudkan pasukan yang kuat, setiap pekerja juga mestilah dianggap sebagai rakan strategik yang mempunyai bakat serta kebolehan unik dan tersendiri,” jelas Hafidz.

Peserta juga dibawa melawat Baicaowei iaitu sebuah perkampungan yang majoriti penduduknya menjana pendapatan dengan menjalankan perniagaan dalam talian melalui Taobao, T-Mall dan pelbagai platform lain.

Terdapat 68 syarikat di sini yang menjalankan perniagaan dalam talian dan menjana RMB400 juta setahun.

Hafiz berkata, mereka memasarkan pelbagai produk import termasuk produk perkampungan mereka sendiri iaitu sejenis kacang yang diberikan pelbagai perasa dan pembungkusan menarik.

Usaha ini telah menarik anak muda untuk kekal berada dan bekerja di kampung tersebut, sekali gus membuka peluang pekerjaan yang besar kepada masyarakat setempat.

Rombongan juga dibawa ke Alibaba Business School di Hangzhou Normal University dan berpeluang mendengar sendiri pengalaman daripada pelajar.

Fakulti perniagaan ini dibiayai Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba Jack Ma.  

“Pelajar digalakkan membuka perniagaan dalam talian semasa mereka berada di sini dan boleh menggunakan fasiliti untuk menjalankan perniagaan.

“Terdapat sesetengah pelajar ini yang telah membuat puluhan juta yuan setahun dalam perniagaan mereka,” jelasnya.

Rombongan juga dibawa melawat pasar raya moden Hema yang berkonsep unik menyediakan penghantaran percuma dalam lingkungan tiga kilometer.

Peserta juga telah dibahagikan kepada lima kumpulan dan sepanjang program ini mereka telah diberikan beberapa tugas serta menyertai ‘Business Hackaton’ yang perlu dibentangkan kepada pengurusan kanan Kumpulan Alibaba pada hari terakhir.

Pada sesi ini, semua input yang dipelajari hendaklah dipraktik dan diterangkan dengan lebih mendalam.

Antara tugas lain yang diberikan adalah eksplorasi bandar raya pintar Hangzhou yang turut  dikenali sebagai ‘Bandaraya Tanpa Tunai’ kerana hanya menggunakan aplikasi Alipay atau Wechat Pay untuk pembayaran penggunaan perkhidmatan bas, tren, teksi, penyewaan basikal dan pembelian di kedai.

  • oleh
  • Advertisement