Anda di sini

Sabah boleh eksport sarang burung

Advertisement
JUNZ bersama Shamsudin serta rombongan diberi penerangan mengenai cara memproses sarang burung walit di kilang itu.
JUNZ bersama Shamsudin serta rombongan diberi penerangan mengenai cara memproses sarang burung walit di kilang itu.

SANDAKAN: Kilang AMG Advance Profitable Enterprise yang terletak di Pusat Perindustrian Majulah Jalan Batu Sapi, Sandakan akan dijadikan pusat pengumpulan sarang burung walit di Sabah sebelum dieksport ke negara China.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata Sandakan sudah dikenal pasti sebagai pusat pengumpulan sarang burung walit melalui syarikat AMG Advance Profitable Enterprise.

“Syarikat ini sudah lengkap memiliki Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kita sudah boleh mengeksport sarang burung ke negara China,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke kilang terbabit.

Beliau memberitahu Sabah sudah boleh eksport ke negara lain kecuali China, kerana SOP China lebih tegas dan lebih berhati-hati mengenai bisnes berkenaan.

“Jadi sekarang, saya boleh kata kilang ini sudah beroperasi dan telah memohon lesen eksport. Kita sudah berusaha untuk melengkapkan SOP tetapi tinggal menunggu audit datang buat ‘listing’ dan pihak negara China juga akan datang melawat sebelum lesen itu diluluskan.

“Saya harap selepas sambutan Hari Raya, mungkin dalam masa tiga bulan. Kita akan terus berusaha dan berharap dalam tiga bulan akan datang ini boleh terus eksport ke China,” katanya.

Junz memberi jaminan akan mempercepatkan proses pengeluaran lesen berkenaan kepada AMG Advance Profitable Enterprise bagi memastikan pembangunan sektor burung walit di Sabah lebih rancak sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

“Sekiranya lesen itu berjaya diperolehi, ia adalah kali pertama di seluruh Malaysia untuk mengeluarkan satu lesen mengeksport sarang burung mentah lebih bersih pada harga pasaran antarabangsa RM4,000 bergantung pada kualiti.

“Selepas kita proses, harga dia boleh meningkat sehingga RM8,000 yang mana harga di pasaran telah meningkat naik kepada 100 peratus daripada harga sebelumnya,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement