Anda di sini

Warisan terima ahli ikhlas bersama-sama bangunkan Sabah

Advertisement
SHAFIE (empat kanan) merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan. Turut kelihatan Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Liking (dua kiri), Jaujan (tiga kanan), Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong (kiri), Setiausaha Agung Warisan Lorreto Padua Jr ( dua kanan) dan Bendahari Warisan Terence Siambun (kanan).
SHAFIE (empat kanan) merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan. Turut kelihatan Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Liking (dua kiri), Jaujan (tiga kanan), Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong (kiri), Setiausaha Agung Warisan Lorreto Padua Jr ( dua kanan) dan Bendahari Warisan Terence Siambun (kanan).

PENAMPANG: Parti Warisan Sabah (Warisan) sentiasa membuka pintu untuk kemasukan rakyat Malaysia menjadi ahli dengan syarat mereka harus mempunyai agenda ikhlas bersama-sama membantu menguatkan parti seterusnya membangunkan negeri ini.

Naib Presiden Warisan Datuk Jaujan Sambakong berkata, Warisan juga sedia menerima mereka yang berasal dari parti lain bagi menyertai parti itu kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang mengamalkan sistem keterbukaan.

"Bagaimanapun, seperti yang Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kesetiaan dalam perjuangan itu penting dalam kalangan ahli.

"Saya percaya sekiranya ada kesedaran kepimpinan daripada anak Sabah untuk kita bersatu, inilah masa yang terbaik dilakukan ketika kerajaan Warisan dan gabungannya seperti PKR, DAP Dan Upko. Kita harus bersatu-padu," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2018/2019, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, sejarah pemerintahan lalu sudah memberikan pengajaran, ketika Usno memerintah wujud perpecahan dalam perjuangan.

Katanya, keadaan itu berterusan kepada kerajaan Berjaya, Parti Bersatu Sabah sehinggalah Umno. Kesedaran itu perlu diambil tahu rakyat khususnya semua pimpinan yang ada hari ini.

"Sekiranya jiwa kita mahu bangunkan Sabah, membela rakyat... inilah peluang terbaik untuk kita satukan rakyat dan kepimpinan di Sabah dalam satu perjuangan.

"Tidak dinafikan pemerintahan dahulu ada membuat pembangunan, tetapi kita sedar bilangan rakyat semakin meningkat, tuntutan dan kos kehidupan juga meningkat.

"Sudah tentu rakyat juga mahu peningkatan dari segi perkhidmatan kerajaan terhadap mereka," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, kerajaan yang ada sekarang sudah mengenal pasti hala tuju yang perlu dilaksanakan berdasarkan sentimen rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan amanat Shafie ketika perhimpunan itu cukup jelas untuk menjawab segala isu yang wujud pada hari ini.

Katanya, tohmahan seperti Warisan mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada pendatang asing adalah satu perkara yang tidak benar dan mempunyai niat jahat demi membantutkan usaha kerajaan membangunkan Sabah.

"Kad pengenalan hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, perkara yang sama dengan pasport yang hanya boleh dikeluarkan Jabatan Imigresen.

"Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat perkara sedemikian," katanya.

Menurutnya, ahli parti dan rakyat harus tahu mendapatkan penjelasan mengenai maklumat seumpamanya, jangan hanya dengar 'suara-suara di luar' sebaliknya dengar penjelasan daripada pihak pimpinan parti.

  • oleh
  • Advertisement