Anda di sini

Pemimpin muda teruskan kesinambungan kepimpinan negara

Advertisement
WAN Azizah meluangkan masa beramah-mesra dengan golongan ibu tunggal.
WAN Azizah meluangkan masa beramah-mesra dengan golongan ibu tunggal.

SANDAKAN: Lebih ramai pemimpin muda diperlukan untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan negara pada masa akan datang.

Merujuk kepada calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Vivian Wong Shir Yee merupakan masa depan bagi Parlimen Sandakan dan juga negara.

Katanya, Vivian boleh menjadi suara yang berkesan bagi Sandakan untuk dibawa ke Dewan Rakyat.

"Saya dan mendiang bapanya adalah sahabat. Beliau (Stephen) berkhidmat sampai ke hujung hayatnya dan sekarang anaknya berhasrat untuk menyambung.

"Oleh itu, berilah peluang kepada Vivian. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk Sandakan dan biarkan Vivian teruskan apa yang masih belum terlaksana," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana di Gelanggang Futsal, Kampung Sim-Sim di sini hari ini.

Wan Azizah berkata Vivian adalah calon yang perlu diberi kemenangan agar Sandakan boleh terus menerima perubahan.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri di bawah Warisan untuk membangunkan kawasan ini.

"Saya melihat Sandakan mempunyai potensi dari segi pelancongan. Sekiranya pelancongan berjaya dimajukan, sudah pasti rakyat pada asasnya akan mendapat manfaat," jelasnya.

Sementara itu, Vivian dalam ucapannya berkata walaupun telah menerima banyak kecaman sejak dari hari penamaan calon, namun ia telah membuatkan beliau lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan mendiang bapanya.

"Ada yang cakap saya seorang wanita muda dan ada yang cakap saya tidak ada pengalaman. Saya jadikan ini semua sebagai satu suntikan semangat. Sebagai seorang wanita muda, pastinya suara saya membawa pelbagai isu berkaitan wanita, kanak-kanak dan belia akan lebih berkesan," katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew, Menteri Belia dan Sukan Datuk Frankie Poon, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Kenny Chua, Adun Dilantik merangkap Ketua Cabang PKR Libaran Jaffari William dan Adun Elopura Calvin Chong.

Terdahulu, Wan Azizah turut meluangkan masa beramah mesra dengan golongan ibu tunggal di rumah penduduk di Lorong C, Rumah Murah Kampung Sim-Sim.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 16 ibu tunggal yang terpilih dari sekitar perumahan berkenaan.
 

  • oleh
  • Advertisement