Anda di sini

RM24.74 juta naiktaraf sistem saliran Batu 7

Advertisement
XAVIER ketika bercakap kepada pemberita.
XAVIER ketika bercakap kepada pemberita.

SANDAKAN: Kerajaan telah meluluskan RM24.74 juta bagi menampung pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf sistem saliran di kawasan perumahan Batu 7, dekat sini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, pihaknya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah meluluskan peruntukan berkenaan.

“Pelaksanaan untuk kerja menaiktaraf sistem saliran meliputi 14 skop kerja-kerja kecil antaranya perlindungan dan penambahbaikan alam sekitar, menaiktaraf perparitan utama yang membabitkan Taman Kenari dan Taman Rajawali, menaiktaraf perparitan utama di Taman Nuri dan Taman Merpati selain pembinaan 'Arch Bridge',” katanya.

Beliau berkata, projek itu dijangka akan dapat mengurangkan masalah kejadian banjir dan memberi manfaat kepada 12 ribu orang penduduk di sebahagian kawasan Batu 7.

"Projek telah pun bermula sejak 5 September 2016 dan dijadualkan siap pada 22 September 2019  ... jadi, usaha ini adalah bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media sempena lawatan kerjanya ke kawasan Projek Saliran Mesra Alam Parit Batu 7 Sungai Sibuga, di sini.

Mengulas lanjut, Xavier memberitahu kawasan tadahan parit Batu 7 merupakan salah satu lokasi yang kerap dilanda banjir di Sandakan.

“Ia meliputi empat taman perumahan dengan keluasan 393 hektar dan melibatkan 12 ribu penduduk, yang menyaksikan kejadian banjir besar kali terakhir berlaku pada awal tahun 2011 dan awal 2012 melibatkan kedalaman banjir setinggi 1 meter,’ katanya.

Dalam pada itu, beliau menjawap soalan pemberita berkata pihaknya sudah mendapat lampu hijau daripada Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi meneruskan projek-projek tebatan banjir di seluruh negeri Sabah.

"Keseluruhan adalah 58 projek dan tiga lagi baharu diluluskan yang akan memulakan kerja-kerja pelaksanaan tahun ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement