Anda di sini

SM Sung Siew Sandakan johan pertandingan pengekstrakan DNA

Advertisement
 Sebahagian daripada peserta pertandingan pengekstrakan DNA.
TELITI: Sebahagian daripada peserta pertandingan pengekstrakan DNA.

KOTA KINABALU: Sekolah Menengah Sung Siew Sandakan muncul johan Pertandingan Pengekstrakan DNA yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.

Kejuaraan itu sekali gus membolehkan sekolah yang diwakili Pamela Liew Sim Yee dan Jen Yee Shing itu menerima hadiah berupa wang tunai RM500 serta sijil.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Evangel Glory Ambrose dan Festerry John dari Sekolah Kebangsaan Bundu Tuhan, Ranau.

Sementara, tempat ketiga menjadi milik Adrian Raymond dan Abeholl Joe Gulun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Marudu.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima hadiah RM250 dan 150 serta sijil.

Disertai 17 sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh Sabah, pertandingan itu merupakan salah satu pengisian sambutan Hari DNA Sabah anjuran Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS.

Sementara itu, bagi pertandingan Pengucapan Awam, juara menjadi milik Nur Zaidatul Athirah Rasit dari Kolej Vokasional Lahad Datu.

Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing disandang Izyan Irmah Safiah Ismail (SM Sains Sabah) dan Chok Seng Vui (SM Sung Siew Sandakan).

Kesemua mereka masing-masing menerima hadiah RM500, RM350 dan RM150 serta sijil.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempunakan Pengarah IPB UMS Dr Zarina Amin.

Program yang berlangsung selama empat hari itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti lain termasuk pertandingan mewarna dan menulis esei.

Penyertaan setiap aktiviti dibuka kepada seluruh sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof Madya Ts D. Ramzah Dambul.

Advertisement