Anda di sini

Program Komuniti Sihat dekati penduduk kampung

Advertisement
 Zaidil (duduk, tiga kanan) bersama ahli JKKK, KOSPEN dan COMBI pada program tersebut.
PROGRAM KESIHATAN: Zaidil (duduk, tiga kanan) bersama ahli JKKK, KOSPEN dan COMBI pada program tersebut.

SIBU: Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) dan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) dekati penduduk Kampung Bahagia Jaya Teku di sini kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bahagia Jaya Teku Zaidil Arip berkata, program itu mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan dan kebersihan kawasan kediaman serta kampung.

Menurutnya, hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan kampung dinaiki air dan kawasan rumah turut ditenggelami air yang bertakung.

Jelasnya, keadaan ini boleh menyebabkan air bertakung dalam sampah atau tin dan botol kosong dibawa air banjir sekali gus mengundang pembiakan nyamuk aedes.

“Jika ini tidak dicegah dengan segera sudah pasti penduduk kampung berhadapan dengan risiko nyamuk aedes yang boleh menyebabkan demam denggi.

“Sebab itu, saya sangat menggalakkan program ini kerap diadakan agar masyarakat sedar kepentingan menjaga kesihatan diri dan kebersihan kawasan rumah atau kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program itu diadakan di Pusat Info JKKK Kampung Bahagia Jaya Teku Fasa I di sini.

Justeru, program itu turut diselitkan aktiviti gotong-royong membersih kawasan pembiakan nyamuk aedes disertai RELA dan penduduk kampung.

Terdahulu, program dimulakan dengan aktiviti senamrobik, latihan menyumpit dan beberapa aktiviti lain.

Menurut Zaidil, dua kelab ditubuhkan bagi memperkasa Pusat Info JKKK Kampung Bahagia Jaya Teku Fasa I.

“Kelab tersebut adalah Kelab Sukan Rekreasi Bahagia Jaya dan Kelab Belia Kampung Bahagia Jaya Teku (KBBT).

“Kelab-kelab ini kita tubuhkan untuk menarik lebih ramai penduduk kampung khususnya golongan belia supaya terlibat aktif dengan pelbagai acara atau program pada masa akan datang,” katanya.

Di samping itu, Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Bahagia Jaya Berhad Ke-9 Tahun 2019 turut diadakan.

Advertisement