Anda di sini

Pencuri kereta, motosikal berjaya diberkas

Advertisement
HABIBI memeriksa barisan kawalan kehormat pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu.
HABIBI memeriksa barisan kawalan kehormat pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di sini selepas dipercayai terlibat dalam sembilan kes curi motosikal dan kereta sejak penghujung tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata suspek pertama berjaya ditahan di kawasan letak kereta sebuah pusat hiburan di Jalan Kampung Air, kira-kira jam 1.30 pagi pada 25 April lalu.

“Suspek warga Filipina berumur 20 tahun itu ditahan bersama sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di belakang sebuah restoran di Segama pada 20 April.

“Susulan penangkapan itu, pasukan polis berjaya membuat satu lagi tangkapan selepas menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pengesahan, kira-kira jam 4.15 pagi hari yang sama.

“Suspek kedua yang merupakan warga tempatan berumur 39 tahun dan suspek utama dalam kes ini turut ditahan bersama sebuah lagi motosikal curi yang dilaporkan hilang di Kolombong Inanam pada 20 April,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu, di sini.

Habibi berkata hasil soal siasat lanjut mendapati kedua-dua suspek dipercayai sudah bergiat aktif menjalankan aktiviti curi motosikal dan kenderaan sejak hujung tahun 2018 sehingga suspek ditangkap.

“Mereka terlibat dalam lima kes cuti motosikal dan empat kes curi kenderaan di sekitar bandaraya selain kawasan sekitarnya.

“Kini polis sedang berusaha mengesan seorang lagi rakan sejenayah suspek yang dikenal pasti sebagai Albin dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pigak polis dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement