Anda di sini

Guru maut kereta dihempap lori dari laluan bertentangan

Advertisement
KEADAAN di lokasi selepas kejadian.
KEADAAN di lokasi selepas kejadian.

KOTA MARUDU: Seorang guru disahkan maut apabila kereta yang dinaiki dihempap sebuah lori dari laluan bertentangan di Jalan Kota Marudu-Pitas berhampiran Dataran Bengkoka, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata mangsa wanita berumur 34 tahun dan berasal dari Kota Belud itu disahkan meninggal dunia serta-merta di lokasi dalam kejadian seawal jam 6.30 pagi itu.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila seorang pemandu lelaki yang menaiki lori membawa muatan sawit dari arah Kampung Rukom Pitas menuju ke Telupid.

“Lori yang dipandu bagaimanapun hilang kawalan semasa melalui satu selekoh menuruni bukit sebelum masuk ke laluan bertentangan sebelum terbalik.

“Kenderaan terbabit kemudiannya menghempap kereta pacuan empat yang dinaiki mangsa di laluan bertentangan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut serta-merta di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku disebabkan pemandu lori gagal mengawal kenderaan yang dipandunya lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan dan pemandu lori ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement