Anda di sini

Vivian terkejut sambutan baik rakyat Sandakan

Advertisement
VIVIAN ketika bertemu rakyat dalam kempen hari kedua.
VIVIAN ketika bertemu rakyat dalam kempen hari kedua.

SANDAKAN: Memasuki hari kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, calon DAP Vivian Wong Shir Yee amat berpuas hati dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat di sini.

Beliau berkata, sokongan yang ditunjukkan masyarakat pelbagai kaum sepanjang kempen bertemu rakyat dan ceramah dijalankan di beberapa lokasi di bandar ini amat mengejutkan.

"Saya pun terkejut dengan sambutan diberikan kepada saya yang amat menggalakkan dan apa yang boleh saya janjikan dengan pengundi, suara mereka akan kedengaran di Parlimen jika saya menang," katanya dalam sidang media di Pusat Operasi DAP Bandar Letat, di sini hari ini.

Vivian berkata ramai rakyat mengucapkan terima kasih kepada kerja yang dilakukan oleh mendiang ayahnya sebelum ini yang banyak membantu rakyat di Parlimen Sandakan.

“Rakyat berharap agar saya meneruskan usaha serta kerja mendiang ayah saya dengan lebih baik lagi,” katanya.

Beliau berkata maklum balas rakyat amat menggalakkan dalam kempen di mana ada ketikanya dia seperti selebriti yang mana ramai yang telah mengetahui calon dan mereka amat menyokong DAP.

Katanya sokongan padu daripada pemimpin DAP dan para pemimpin parti kerajaan telah memberi keyakinan kepadanya untuk terus bekerja dengan lebih keras bagi memastikan kemenangannya mewakili rakyat Sandakan dalam kerajaan hari ini.

Sepanjang kempen, katanya, terdapat juga pelbagai aduan diluahkan oleh rakyat kepadanya dan beliau telah senaraikan aduan itu untuk diselesaikan.

“Antara aduan diluahkan adalah mengenai sedikit permasalahan kemudahan peniaga di pasar dan itu kita ambil perhatian untuk diselesaikan,” katanya.

Seamsa kempen pada Ahad, Vivian telah menghadiri Program Gotong-Royong di Tanah Perkuburan Sim-Sim bermula jam 6 pagi, Walkabout di Pasar Umum Sandakan, Walkabout di Pasar Minggu, ceramah kelompok di Blok F-4-19 Taman Harmoni, ceramah umum di perkarangan Letak Kereta Kampung Good View, ceramah kelompok di Lot B12 Perumahan Rumah Murah Sim-Sim, ceramah umum hadapan bangunan SRC Jalan Singapura dan ceramah umum hadapan gelanggang futsal Taman Mesra.
 

  • oleh
  • Advertisement