Anda di sini

KPKT akan bincang dengan kerajaan negeri semak perumahan usia 30 tahun ke atas

Advertisement
 Zuraida menyampaikan ucapan pada perasmian majlis penutup Konvensyen Pemerkasaan MPKK Kampung Baru di Pusat Konvenyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Gambar Bernama
Zuraida menyampaikan ucapan pada perasmian majlis penutup Konvensyen Pemerkasaan MPKK Kampung Baru di Pusat Konvenyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk menyemak atau membangunkan semula perumahan terutamanya rumah pangsa yang sudah berusia 30 tahun ke atas. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, keperluan untuk menyemak atau membangunkan semula perumahan lama merupakan perkara yang disenarai dalam dasar perumahan negara. 

"Dalam kes pangsapuri Taman Keramat Permai, rumah berkenaan adalah di bawah Kerajaan Negeri Selangor. KPKT akan memantau dan melihat aspek yang boleh dibantu. Saya akan melawat lokasi berkenaan esok kerana baru tiba dari China hari ini," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai insiden 222 penghuni yang menetap di 40 unit rumah di Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai di ibu negara terpaksa dipindahkan baru-baru ini. 

Ia susulan keretakan yang dikesan pada struktur pangsapuri yang  dilaporkan semakin teruk sehingga blok berkenaan dilihat condong. 

Zuraida ditemui selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Pemerkasaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini. 

Dalam sidang media yang sama, beliau yang baru pulang ke tanah air awal pagi ini selepas menyertai lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China berkata, tujuan beliau turut serta dalam lawatan itu ialah untuk mencari pelaburan bagi rumah mampu milik. 

"Sepanjang berada di China saya dapat melihat pembangunan di kawasan nelayan, pelabuhan dan industri kecil dalam kampung.  Saya akan mengkaji untuk mengembangkan pembangunan seumpama itu di Malaysia di mana pelabur China boleh datang ke Malaysia untuk melabur di  kawasan nelayan, pelabuhan dan perkampungan tertentu yang ada keunikan," katanya lagi. 

Konvensyen bagi Kampung Baru kali ini merupakan yang pertama kali diadakan dan ia dihadiri oleh 800 pengerusi dan setiausaha MPKK kampung baru masyarakat Cina dari seluruh negara. 

Kampung baru merupakan kampung-kampung yang ditubuhkan di bawah Ordinan Kecemasan (Rancangan Briggs). Kini terdapat 613 kampung baru termasuk kampung bagan dan rangkaian. - Bernama 

Advertisement