Anda di sini

Banteras ketirisan dan amalan rasuah: Shafie

Advertisement
JUHAR (empat kanan) menyerahkan replika cek kepada seorang pemenang sambil dibantu Shafie (tiga kiri). Turut kelihatan ialah Jaujan (dua kiri), Norlidah (tiga kanan), Shuryani (dua kanan) dan Rohaya (kanan).
JUHAR (empat kanan) menyerahkan replika cek kepada seorang pemenang sambil dibantu Shafie (tiga kiri). Turut kelihatan ialah Jaujan (dua kiri), Norlidah (tiga kanan), Shuryani (dua kanan) dan Rohaya (kanan).

SEMPORNA: Sabah sebagai negeri perindustrian mampu direalisasikan sekiranya unsur-unsur seperti ketirisan serta amalan rasuah dalam pentadbiran negeri dapat dihapuskan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah boleh membangun dengan maju seterusnya setanding dengan kemajuan negara-negara jiran di wilayah ini.

“Sabah mempunyai resepi kekayaan seperti minyak dan gas, kayu balak serta pelancongan. Kita sedar Sabah boleh menjadi negeri berasaskan industrilisasi yang mampu berdiri setanding dengan negara jiran.

“Singapura tidak mempunyai minyak dan gas mahupun  kayu balak tetapi mereka boleh maju... jadi mustahil kita di Sabah tidak boleh maju dengan kekayaan sumber yang kita ada.

“Ia boleh direalisasikan sekiranya pengurusan pentadbiran negeri ada wawasan. Jangan ada ketirisan dan rasuah berlaku supaya dalam keadaan kewangan yang terbatas ini, kita mampu menyalurkan bantuan kepada rakyat yang miskin," katanya ketika berucap sempena penangguhan Sambutan Regatta Lepa 2019, di sini, malam Sabtu.

Beliau berkata, adalah menjadi pegangan pimpinan Kerajaan Sabah baharu untuk membangunkan Sabah sebaik mungkin.

Shafie juga memberikan jaminan bahawa Semporna bukan hanya membangun dalam sektor pelancongan tetapi juga dalam sektor lain termasuk makanan laut.

"Selain di sini, kerajaan juga akan membangunkan sektor tertentu di daerah yang berjiran dengan Semporna seperti di Tawau, Sandakan dan Lahad Datu bagi memastikan usaha menyediakan peluang pekerjaan untuk anak tempatan dapat dijayakan.

"Hasrat ini mampu dijayakan melalui pembangunan Terminal Makanan Tawau dan usaha membina kilang minyak masak di Keningau, Lahad Datu serta kawasan yang mempunyai banyak ladang sawit," katanya.

Menurutnya, perancangan membina kilang minyak masak itu sudah disuarakan kepada Benta Wawasan dan dalam sedikit masa lagi, pembinaan kilang itu pasti dapat direalisasikan.

Di Sandakan pula, katanya, kerajaan akan membangunkan sektor pembuatan perabot di Kluster Industri Minyak Sawit (POIC).

“Menerusi lawatan saya bersama Timbalan Ketua Menteri ke China baru-baru ini, kami melawat kilang pembuatan perabot yang menjana pendapatan RM1.3 bilion setahun.
"Kita akan membawa masuk pelabur (China) ke Sabah, kita akan berunding supaya pelabur datang dan kita akan bekerjasama dengan pelabur dalam mewujudkan situasi 'menang-menang'. Kita tidak akan menjual tanah kepada mereka,” katanya.

Shafie berkata, dalam memastikan usaha pembangunan di Sabah dapat dijayakan, kerajaan akan memastikan tahap keselamatan di daerah ini dan kawasan sekitarnya terus dipertingkatkan.

“Selaku pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Sabah, kita telah merangka beberapa langkah untuk memastikan usaha menjaga keselamatan dapat dijayakan.

"Kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat serta Kedutaan Filipina dan Indonesia agar bersama-sama memastikan keselamatan di rantau ini terjamin dan tidak kacau bilau.

“Sekiranya kita dapat melahirkan rantau yang selamat maka, ekonomi dapat dipertingkatkan dan kita akan berusaha sedaya upaya untuk membangunkan negeri ini dengan sebaiknya,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong dan isteri Datin Hajah Rohaya Mansor, isteri Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib serta tetamu kehormat yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement