Anda di sini

Polis Sarawak khuatir peningkatan kes penipuan, seru masyarakat peka

Advertisement
 Tega (kiri) menyerahkan cenderamata kepada Hasbullah (tengah) disaksikan Mohd Bukhori semalam.
TERIMA KASIH: Tega (kiri) menyerahkan cenderamata kepada Hasbullah (tengah) disaksikan Mohd Bukhori semalam.

LIMBANG: Penduduk di negeri ini diingatkan agar tidak melayan sebarang panggilan mencurigakan mengenai tawaran pinjaman dan sebagainya bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa sindiket pinjaman Macau Scam.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Sarawak SAC Dato Muhammed Hasbullah Ali  berkata, nasihat itu diberikan ekoran kes penipuan pinjaman yang semakin meningkat dan serius di Sarawak.

“Masyarakat perlu peka dan sentiasa beringat dan jangat biarkan diri mereka ditipu dan dianiaya oleh sindiket Macau Scam ini.

“Sentiasa menghubungi polis jika menerima sebarang panggilan yang mencurigakan sebelum menjadi mangsa sindiket sama,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas KPD Limbang dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Limbang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang semalam.

Turut sama ialah Pengerusi PERKEP Limbang Asiah Hasan, Timbalan KPD Limbang DSP Tega Bilong dan isteri Agut Ecu dan pegawai-pegawai kanan polis lain.

Jelasnya, sindiket ini akan menghubungi mangsanya tidak kira siapa termasuk anggota polis sendiri.

Hasbullah berkata, tindakan bijak adalah tidak melayan panggilan yang diterima atau menghubungi polis jika menerima panggilan pinjaman yang mencurigakan.

Katanya, banyak tangkapan sudah dilakukan terhadap individu yang terlibat dalam sindiket Macau Scam di negeri ini.

Beliau berkata lagi, JPJKK terus memperluas pelbagai program utama di Sarawak dalam menangani dan mencegah jenayah yang berlaku di negeri ini.

Bagi Limbang katanya, pihaknya akan membuat kajian strategik dalam mengenal pasti jenis jenayah yang meningkat di daerah ini seterusnya melaksanakan program pencegahan jenayah.

Program  1Masjid 1 Surau yang dilancarkan di sini baru-baru ini bertujuan untuk menangani jenayah di kawasan masjid di negeri ini melalui kolaboratif dengan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Jawatankuasa Masjid.

Selain itu katanya, polis juga akan mengeratkan hubungan dengan sekolah melalui pegawai perhubungan sekolah untuk menangani kes jenayah di sekolah.

Mengulas mengenai persaraan Mohd Bukhori beliau berkata, sudah menjadi dasar dalam pentadbiran PDRM dalam menghadapi pertukaran dan persaraan.

“Dasar sebegini bukan saja mampu mewujudkan perubahan landksap pentadbiran tetapi akan mengubah corak kepimpinan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan anggotanya agar terus menjaga imej pasukan dalam menjalankan perkhidmatan dengan menjaukan diri dari amalan beretentangan.

Beliau turut menyifatkan Mohd Bukhori seorang KPD yang luar biasa dan banyak menyumbang kepada penurunan kes jenayah di daerah Limbang.

Beliau optimis pemangkunya akan menggalas tanggungjawab untuk memastikan visi dan misi yang diperjuangkan untuk menjaga keamanan dan mengekalkan kesejahteraan masyarakat.

Mohd Bukhori pada majlis sama berkata, tiada cabaran getir yang dihadapi selama berkhidmat lebih tujuh tahun di Limbang.

Jelasnya, kadar jenayah di Limbang dapat diselesaikan kerana Limbang merupakan sebuah daerah yang kecil dan masyarakat saling mengenali, selain komitmen anggotanya menjalankan tanggungjawab menjaga keamanan.

Mohd Bukhori memulakan tugas dalam PDRM sebagai inspektor pada 11 Mei 1980.

Selepas tamat latihan, beliau ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sebagai Pegawai Operasi Siasatan.

Sepanjang kariernya beliau pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Cawangan Anti-Dadah, Ketua Unit Tindakan Khas Trafik, Ketua Bahagian Logistik Daerah Sibu dan KPD Betong.

Pada 3 Oktober, 2011 beliau dilantik sebagai KPD Limbang sebelum bersara wajib esok.

Advertisement