Anda di sini

Emery enggan mengalah, meneruskan impian untuk beraksi di Liga Juara-Juara

Advertisement
 Reaksi Ozil (kanan) dan Lacazette  selepas Jota (tidak kelihatan) menjaringkan gol ketiga Wolves pada perlawanan di Stadium Molineux, Wolverhampton Rabu lepas.   — Gambar AFP
HAMPA: Reaksi Ozil (kanan) dan Lacazette selepas Jota (tidak kelihatan) menjaringkan gol ketiga Wolves pada perlawanan di Stadium Molineux, Wolverhampton Rabu lepas. — Gambar AFP

WOLVERHAMPTON, England: Pengurus Arsenal, Unai Emery, enggan mengalah dalam buruan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan selepas menyaksikan pasukannya tewas 1-3 di Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris Rabu lepas.

Ruben Neves, Matt Doherty dan Diogo Jota menjaringkan gol yang memberikan kekalahan ketiga dari empat perlawanan  liga buat Arsenal, sekali gus menjejaskan harapan mereka untuk menamatkan musim di empat tangga teratas liga dengan baki tiga perlawanan musim ini.

Emery mengakui pasukannya dikuasai sepenuhnya oleh Wolves, yang menjaringkan tiga gol dalam separuh masa pertama.

Walaupun kekalahan mengecewakan, Emery berkata pasukannya masih mengekalkan impian kelayakan ke Eropah, yang boleh dicapai sama ada menerusi empat tangga teratas liga atau memenangi kejohanan Liga Europa.

Kekalahan menyebabkan Arsenal kini satu mata di belakang Chelsea, yang menduduki tempat keempat liga – slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara.

“Saya biasanya mengkritik diri saya sendiri dan marah dengan diri saya sendiri di mana kami tidak mengikut pelan permainan yang kami mahukan – bukan kepada pemain,” kata Emery apabila ditanya jika beliau marah dengan pasukannya.

“Pertama sekali ialah kepada diri saya sendiri dan selepas itu gaya permainan dan idea saya untuk melihat ke hadapan dan mencari satu penyelesaian, bukan pemain mana yang bermain dengan buruk.

“Pertama sekali saya memikirkan tentang penyelesaian dan penyelesaian untuk saya bawa pada perlawanan hari Ahad di Leicester dan mendapatkan pencapaian terbaik kami dan kemungkinan membawa pulang tiga mata.”

Tendangan percuma cantik Neves, tandukan Doherty dan larian bertenaga dan rembatan Jota memastikan Wolves mendahului selesa sebelum rehat dengan gol sagu hati Arsenal dijaringkan Sokratis pada lewat permainan.

Tetapi Arsenal harus menyalahkan dirinya sendiri kerana hantaran lemah, pertahanan rapuh dan aksi hambar penjaga golnya, Bernd Leno.

Selepas memulakan permainan dengan memberangsangkan, Arsenal hilang rentak dengan mendadak sebaik sahaja Wolves melakukan asakan dan akhirnya mendahului 3-0 pada masa rehat.

Emery bagaimanapun enggan mengkritik penjaga golnya.

“Saya tidak mahu bercakap tentang pemain secara individu,” kata beliau. “Kami perlu terus bekerja bersama dan tidak melihat hanya seorang pemain atau pemain di bahagian pertahanan atau serangan. Kami perlu mengembalikan keyakinan kami.”

Namun Emery mengakui pasukannya hilang disiplin ketika Wolves melakukan asakan demi asakan pada separuh masa pertama. — AFP

Advertisement