Anda di sini

Lelaki dicekup jual loteri haram

Advertisement
 Suspek ditahan ketika menunggu pelanggan membeli nombor loteri haram di kedai runcit tersebut.
DITAHAN: Suspek ditahan ketika menunggu pelanggan membeli nombor loteri haram di kedai runcit tersebut.

KAPIT: Seorang lelaki berumur lingkungan 25 tahun ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti penjualan loteri tanpa lesen di sini.

Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Freddy Bian berkata suspek ditangkap di sebuah kedai runcit berhadapan Tanah Perkuburan, Jalan Selirik, dekat sini jam 4.20 petang Sabtu lalu.

“Sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kapit membuat serbuan merampas pelbagai peralatan digunakan suspek menjalankan aktiviti nombot haram itu,” katanya.

Menurutnya, barang kes dirampas termasuk sebuah pencetak mudah alih, sekeping kertas putih tertera angka empat digit disyaki loteri awam haram, sebuah telefon bimbit serta kad Sim, kalkulator dan sebuah bakul.

“Kami juga merampas wang tunai berjumlah RM151.80 dipercayai hasil daripada penjualan nombor ekor haram itu,” katanya.

Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kapit untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM 20,000 dan tidak lebih RM200,000 serta boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun.

“Orang awam membeli nombor ekor haram juga boleh disabitkan kesalahan dan didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan,” katanya.

Advertisement