Anda di sini

Tunas Boling GK7 platform cungkil bakat tenpin boling

Advertisement
PARA peserta dan fasilitor bergambar bersama para jurulatih boling.
PARA peserta dan fasilitor bergambar bersama para jurulatih boling.

KOTA KINABALU: Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran (PPD Tuaran) dengan kerjasama My Bowl 1Borneo dan Kelab Tenpin Boling Legasi Tuaran (KTBLT) telah menganjurkan program Tunas Boling GK7 yang turut melibatkan penyertaan murid sekolah pendidikan khas.

Program dua hari yang disertai 120 pelajar dari daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang dan Kota Belud itu antara lain bertujuan memperkenalkan klinik asas sukan tenpin boling yang diadakan di My Bowl 1Borneo.

Sesi klinik sukan boling itu dikendalikan oleh Ketua Jurulatih merangkap Pengerusi Teknik Boling Daerah Tuaran Ali Khanafiah Madaile dan dibantu enam jurulatih lain (Clarieo, Tai Yee Zin, Johari, Azril, Azrul, Rozzainy Sham) serta enam fasilitator (Zaquan, Raziq, Asnor Nasha, Asnor Daniel, Mohd Imran dan Azfar).

Terdapat pelbagai pengisian aktiviti menarik diperkenalkan kepada peserta seperti teori dan amali asas tenpin boling selain lawatan mesin boling dan gelanggang arena boling dan My Bowl Proshop.

Di samping itu, krew Ging Pisang turut memeriahkan program yang melibatkan peserta program Tunas Boling GK7 dalam sesi Santai Boling.

Sementara itu, Sarah Nurliyana Kassim dari SK Unggun Kota Kinabalu mengungguli tempat pertama bagi kategori Sekolah manakala kategori sekolah menengah pula diraih Affidenny Aini dari PPKI SMK Badin, Tuaran.

Kategori Khas Fasilitator diungguli oleh Mohamad Imran Kassim dari SM St John Tuaran.

SMK Tebobon, Kota Kinabalu telah menghantar peserta teramai iaitu 41 orang.

Penolong Pegawai PPD Tuaran Jumar Kamsari yang juga pengerusi KTBLT berkata dengan adanya penglibatan SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu, program itu telah memberikan satu pengalaman baharu bagi pengelola program dalam memberikan klinik asas kepada murid bekeperluan khas masalah pendengaran.

Katanya Tunas Boling GK7 pada kali ini berjaya mencungkil bakat pelajar arus perdana dan murid bekeperluan khas, sekali gus menyuntik semangat untuk membantu merealisasikan pembangunan sukan tenpin boling di negeri Sabah.

Beliau turut berterima kasih kepada syarikat My Bowl, PopOutInk, Borneo Ant House, Conn Design Studio, Ging Pisang dan KTBLT yang telah menaja kemudahan sepanjang program itu berlangsung.

Penasihat KTBLT Rozzainny Sham Talip pula berharap program itu dapat memupuk minat peserta dan dijadikan program tahunan untuk mencungkil bakat baharu dalam arena sukan tenpin boling dan dalam masa yang sama, melahirkan pemain tenpin boling yang berprestasi tinggi.
 

Advertisement