Anda di sini

Rogol gadis OKU: Lelaki dipenjara 15 tahun, satu sebat

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dikenakan penjara 15 tahun dan satu sebat, atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur kelainan upaya (OKU) di ladang kelapa sawit.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Saffie Salleh, 27, selepas perbicaraan penuh dijalankan dan memerintahkan pemenjaraan bermula dari tarikh sabitan.

Mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh merogol mangsa yang berusia 14 tahun, pada 20 Julai 2015 di ladang kelapa sawit, Jalan Langkon di daerah Kota Marudu.

Sabit salah hukuman yang boleh dikenakan penjara selama tempoh 30 tahun dan sebat.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi untuk memberikan keterangan, manakala dua saksi pihak pembelaan terdiri daripada tertuduh dan jirannya.

Pada 4 April mahkamah memerintahkan tertuduh membela dirinya pada 22 April, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Semasa rayuan, peguam Saban Sawayan meminta hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya dan kejadian berkenaan berlaku kerana mangsa rela melakukan hubungan seksual bersama tertuduh.

Namun Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip membidas bahawa Seksyan 376 (2)(d) merujuk tanpa kerelaan dan keterangan mangsa menyatakan dirinya ditarik ke tempat kejadian.

Tambahnya mangsa juga dibaringkan secara paksa, pada masa yang sama meminta dilepaskan.

Oleh itu, beliau menegaskan tempoh pemenjaraan yang lama harus dikenakan terhadap tertuduh.

Sementara itu, Elsie membenarkan tertuduh menangguhkan menjalani hukuman dengan ikat jamin, sehingga menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

  • oleh
  • Advertisement