Anda di sini

RCI Wang Kelian: Pemeriksaan susulan temui enam rangka

Advertisement
 Jamaluddin (kanan) bersama tiga lagi saksi baru (dari, kiri) Koperal Roshaidi Hussin, Sub Inspektor Abdul Rahman Kashim dan Sub Inspektor Zainuddin Husin pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis di Dewan Gemilang, Kompleks D, Kementerian Dalam Negeri (KDN), dekat Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
SAKSI RCI: Jamaluddin (kanan) bersama tiga lagi saksi baru (dari, kiri) Koperal Roshaidi Hussin, Sub Inspektor Abdul Rahman Kashim dan Sub Inspektor Zainuddin Husin pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis di Dewan Gemilang, Kompleks D, Kementerian Dalam Negeri (KDN), dekat Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Saksi ketujuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis semalam memberitahu beliau menemui enam rangka manusia terbiar dan 20 struktur tanah berbentuk kubur dalam pemeriksaan susulan yang dijalankan di Bukit Wang Burma pada 15 Ogos 2015.

ASP Jamaluddin Shah Mohd Jawan yang kini Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Tumpat, Kelantan berkata pemeriksaan berkenaan diketuai beliau yang ketika itu seorang Inspektor di Cawangan Khas IPD Padang Besar, Perlis bersama Ibu Pejabat Kontinjen Perlis.

“Rangka berkenaan ditemui dalam keadaan tulang yang berselerakan di atas pelantar dalam kem yang diperbuat daripada kanvas dan kayu serta dipagari dawai kawat,” katanya.

Katanya, kem berkenaan terletak di Bukit Wang Burma, Perlis kira-kira 50 meter dari batu sempadan Malaysia-Thailand dan sejam berjalan kaki dari kem Wang Kelian.

Susulan penemuan enam rangka dan 20 kubur itu, beliau sendiri membuat laporan polis di Ibu Pejabat Kontinjen Perlis.

Menurut Jamaluddin Shah, hasil pemeriksaan, pasukan forensik mendapati 20 kubur berkenaan mengandungi mayat.

Kem di Bukit Wang Burma merupakan penemuan terakhir daripada pemeriksaan susulan yang beliau lakukan selepas kem Wang Kelian ditemui pada Januari 2015, katanya yang berkhidmat selama sembilan tahun di Cawangan Khas IPD Padang Besar.

Sebelum penemuan Kem Bukit Wang Burma, Jamaludin Shah berkata pada Mac 2015, pemeriksaan susulan di dua lagi lokasi iaitu Genting Perah dan Taman Negara Negeri Perlis menemui 18 kem kecil.  

Pemeriksaan susulan berkenaan dilakukan oleh Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan Cawangan Khas  IPD Padang Besar bersama  69 Komando (VAT 69) Polis DiRaja Malaysia, katanya.

“Pemeriksaan susulan dilakukan bagi memastikan tiada kawasan terlepas daripada pemeriksaan dalam mencari saki-baki kem penempatan.

“Ini kerana terjemahan buku nota dalam bahasa Thai yang ditemui dalam kem di Wang Kelian pada Januari 2015 mendedahkan terdapat kem lain di kawasan berhampiran,” katanya.

Jamaluddin Shah dalam keterangannya berkata berdasarkan pengalamannya, faktor kedudukan kem tahanan pendatang asing Thailand yang terlalu hampir dengan sempadan Perlis menjadi punca pendatang berkenaan mencuba nasib untuk masuk ke negara ini.

“Kebanyakan pendatang asing yang saya soal siasat (ketika bertugas di Padang Besar) mengakui mereka dari kem tahanan pendatang di sebelah Thailand,” katanya. — Bernama

Advertisement