Anda di sini

Peserta Unduk Ngadau negeri perlu sedia penyelidikan kebudayaan

Advertisement
JO-ANNA (duduk, lapan kiri) bergambar bersama barisan Ahli Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah selepas sidang media itu.
JO-ANNA (duduk, lapan kiri) bergambar bersama barisan Ahli Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah selepas sidang media itu.

KOTA KINABALU: Peserta pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri tahun ini perlu menyediakan dokumen hasil penyelidikan kebudayaan.

Pengerusi Penganjur Unduk Ngadau Peringkat Negeri Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, perkara itu antara perubahan yang dilaksanakan jawatankuasa penganjur tahun ini.

Menurutnya, penyelidikan kebudayaan yang didokumenkan itu hendaklah mewakili kumpulan etnik setiap peserta.

Inisiatif berkenaan jelasnya, bertujuan memelihara kekayaan tradisi budaya Kadazandusun Murut (KDM) di negeri ini.

"Banyak sejarah budaya kita tidak didokumenkan dan usaha ini dijalankan dengan merujuk kepada sumber yang boleh dipercayai dan relevan.

"Menerusi langkah dokumentasi seperti ini, ia akan memudahkan lagi usaha mengemas kini maklumat apabila diperlukan," katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, penyelidikan berkenaan akan dikendalikan melalui kumpulan yang membantu peserta Unduk Ngadau.

Katanya, kumpulan berkenaan akan memastikan peserta mendapat bantuan daripada ahli keluarga atau jawatankuasa penganjur di peringkat daerah.

Menurutnya, hasil penyelidikan yang sudah didokumenkan itu akan disampaikan kepada panel juri semasa sesi pra-penghakiman sebelum peringkat akhir.

"Peserta dikehendaki memfokuskan kepada kajian mengenai pakaian tradisi yang mereka pakai serta aspek budaya dengan etnik yang dipilih.

"Itulah sebabnya para peserta digalakkan memakai atau mempamerkan pakaian tradisional bagi kawasan yang mereka wakili," katanya.

Jo-Anna berkata, jawatankuasa penganjur turut memutuskan had umur maksimum bagi peserta Unduk Ngadau adalah 27 tahun berbanding 25 tahun sebelum ini.

  • oleh
  • Advertisement