Anda di sini

GPS bukan hero dalam mempertahankan hak Sarawak - Ali Biju

Advertisement
 


KUCHING: Selepas memilih untuk tidak mengundi Rang Undang-undang Perlembagaan 2019, Ahli-ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) didakwa cuba menjadi hero dalam mempertahankan hak dan keistimewaan Sarawak. 

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ali Biju yang berkata demikian menambah, kini 19 Ahli GPS cuba mengelirukan rakyat dengan memperkatakan tentang perkara lain dengan harapan untuk mengalihkan isu sebenar.

"GPS mengkhianati rakyat Sarawak pada 9 April dan dolak dalik apa sekali pun tidak dapat mengembalikan 'kerosakan' dihadapi Sarawak.

"Fakta dapat menjelaskan sendiri dan GPS tidak dapat menyembunyikan fakta ini," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) kini bersetuju dengan GPS untuk membentuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Kita tunggu apakah alasan GPS untuk melengahkan perkara ini," jelasnya.

Katanya, tujuan PH membentangkan rang undang-undang itu adalah untuk mengembalikan entiti asal Malaysia seperti sebelum 1976 yang merangkumi Malaya, Sabah dan Sarawak.

Ia merupakan langkah pertama yang perlu dilakukan secara berperingkat dalam usaha mengembalikan semula hak dan keistimewaan Sarawak dan Sabah, katanya.

Tindakan berkecuali GPS didakwanya hanya untuk agenda politik mereka berbanding cuba mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sarawak dan Sabah.

Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok turut mempersoalkan Ahli-ahli Parlimen GPS yang dahulunya merupakan kerajaan ketika bersama Barisan Nasional (BN) tidak bertindak untuk meminda perlembagaan.

"Ini adalah kebenaran yang GPS cuba hendak rakyat Sarawak lupakan. Lebih menyedihkan apabila mereka selama ini gagal melindungi hak Sarawak dan mereka tidak boleh mendakwa menjadi hero.

"Mereka maklum ini akan menjadi peluru apabila pilihan raya negeri diadakan pada 2021," katanya.

Advertisement