Anda di sini

Pengarah urusah syarikat didakwa terima rasuah RM90,000

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah melalui tiga helai cek berjumlah RM90,000.

Kong Ying Siong, 52, yang diwakili peguam Hamid Ismail bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Pertama, pada September 2014, tertuduh menerima cek berjumlah RM50,000 daripada Wong Kon Kiaw melalui Chin Chee Fui, sebagai dorongan membayar hutang syarikat Wisma Rakyat Sdn Bhd kepada Heng Seng Trading berjumlah RM876,020.

Kedua, sekitar Ogos 2014 tertuduh menerima cek berjumlah RM20,000 daripada Chian Tow Tenom melalui Chin, untuk membayar hutang syarikat Wisma Rakyat Holding Sdn Bhd kepada Winson Stationert Sdn Bhd berjumlah RM515,210.

Ketiga, pada September 2014 Kong menerima cek bernilai RM20,000 daripada Bang Khiong Sin melalui Chin, untuk membayar hutang syarikat Wisma Rakyat Holding Sdn Bhd kepada Fui Teck Sdn Bhd berjumlah RM524,300.

Semua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Wisma Rakyat Holding Sdn Bhd, Kompleks Majlis Daerah Keningau.

Atas semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Terdahulu Timbalan Pendakwara Mohd Farez Rahman dari SPRM mencadangkan ikat jamin diberikan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh, bagi setiap pertuduhan.

Beliau juga meminta pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain itu tertuduh hendaklah melaporkan diri di pejabat SPRM sekali dalam sebulan.

Bagaimanapun Hamid memohon jumlah ikat jamin berkenaan dikurangkan kerana kes terbabit tidak melibatkan jutaan ringgit dan tidak berkaitan dengan kes pengubahan wang haram.

Oleh itu beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 diberikan kepada anak guamnya untuk ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.

"Tertuduh tidak akan melarikan diri kerana perlu menjaga ayah dan kakaknya yang menderita penyakit kanser tahap ketiga," katanya.

Menurutnya tertuduh sudah hadir di pejabat SPRM sebanyak tiga kali pada 2016, 2018 di Kuala Lumpur dan seterusnya pada Ahad lalu, yang mana hal ini menunjukkan tertuduh memberikan kerjasama dengan pihak SPRM.

Beliau juga memohon pasport tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah, dengan mengambil kira syarikat tertuduh mengalami masalah kewangan.

"Tertuduh perlu menggunakan pasport untuk ke luar negara, kerana sekarang ini tertuduh ingin membina hubungan perniagaan madu kelulut di negara Kambodia, Myanmar, Filipina dan China," katanya.

Sekiranya pasport anak guamnya diserahkan kepada mahkamah, tertuduh dan mahkamah akan mengalami kesulitan (memohon) jika anak guamnya sering kali ke luar negara.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 19 Jun terhadap Kong yang diberikan ikat jamin sebanyak RM30,000 deposit RM20,000 yang dicagarkan dua penjamin tempatan.

Selain itu, Abu Bakar memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan harus melaporkan diri di pejabat SPRM sekali dalam sebulan, sehingga kes selesai.

  • oleh
  • Advertisement