Anda di sini

PSR hanya boleh dilaksana selepas semua 18 syarat dipatuhi: Dr Xavier

Advertisement
 Dr Xavier (tiga, kiri) melancarkan Program Pembangunan Hub Nanas Kuala Langat di Telok Panglima Garang, semalam. — Gambar Bernama
RASMI: Dr Xavier (tiga, kiri) melancarkan Program Pembangunan Hub Nanas Kuala Langat di Telok Panglima Garang, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LANGAT: Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) hanya dibenar dilaksanakan selepas kerajaan negeri memenuhi kesemua 18 nasihat yang dikemukakan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN).

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar yang juga anggota MPFN, berkata selepas kerajaan negeri Pulau Pinang mematuhi kesemua syarat tersebut, majlis itu akan berbincang semula sebelum kelulusan penuh diberikan.

“… secara prinsipnya ia (PSR) diluluskan, tetapi kerajaan Pulau Pinang perlu patuhi 18 nasihat yang kita tetapkan dan sekiranya ia dipatuhi, kita boleh bagi kelulusan sepenuhnya ke atas projek itu,” katanya  kepada pemberita selepas merasmikan program Pembangunan Hab Nanas Kuala Langat di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini projek itu yang dikemukakan cadangannya oleh kerajaan Pulau Pinang bagi menjana pembangunan ekonomi negeri dan membiayai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

MPFN sebelum ini menggariskan 18 nasihat untuk dipatuhi Pulau Pinang berserta ulasan dan syor-syor tambahan daripada beberapa kementerian termasuk Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mengulas mengenai program pembangunan hab nanas itu, Xavier yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, berkata beliau menggalakkan penduduk di daerah tersebut melibatkan diri dalam penanaman nanas yang berpotensi memberi pulangan lumayan.

“Tanaman nanas ini merupakan satu industri makanan yang sangat berdaya maju kerana ia diletakkan di tempat ketiga dalam senarai buah-buahan utama negara.

“Sebab itu saya sangat menyokong apabila ada pihak yang mahu bekerjasama termasuk Jabatan Pertanian dan Universiti Putra Malaysia dalam projek pembangunan hab nanas di Kuala Langat ini,” katanya.

Beliau berkata untuk permulaan,  72 penduduk berdaftar dalam program itu, melibatkan kawasan seluas 29.6 hektar. — Bernama

Advertisement