Anda di sini

179 penghuni luluh

Advertisement
 Keadaan Rumah Umpang setelah api meranapkan segalanya.
MUSNAH: Keadaan Rumah Umpang setelah api meranapkan segalanya.

MUKAH: Seramai 179 penghuni Rumah Umpang, Ulu Bauh Chelum, Dalat berduka pada sambutan Good Friday semalam selepas kediaman mereka musnah sama sekali dalam kebakaran sekitar jam 8.30 malam kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Dalat DSP Roslan Leman, kebakaran rumah panjang 25 pintu itu dipercayai bermula di pintu nombor lapan.

“Kebakaran dipercayai bermula di pintu nombor lapan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Rumah panjang berkenaan menurutnya, diperbuat daripada kayu dan kerugian keseluruhan belum dapat dipastikan.

Sementara itu, menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, anggota bomba mengalami sedikit kesukaran untuk memadam kebakaran ketika sampai di lokasi.

“Jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan tersebut kerana laluan yang sempit,” menurut laporan itu.

Katanya, anggota bomba terpaksa memunggah pam dan peralatan ke dalam kenderaan pacuan empat roda dan bergerak ke lokasi dalam lingkungan lima kilometer melalui jalan tanah.

Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah terlibat dalam operasi pemadaman diketuai PBK II Mclean C Madis dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah  PKPgB Alimat Sam merupakan komander operasi kebakaran.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 3.05 pagi semalam.

Kebakaran Rumah Umpang merupakan kes kebakaran rumah panjang ketiga direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam tempoh lima hari sejak 14 April lepas di seluruh negeri.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Tiong Ling Hii berkata, tiga kes tersebut turut menyebabkan kira-kira 798 orang hilang tempat berteduh, malah seorang penghuni rumah panjang rentung dan dua lagi dirawat di hospital kerana melecur.

“Tiga rumah panjang terdiri daripada 89 pintu telah musnah dalam kebakaran iaitu Rumah Chandi di Selangau pada 14 April, Uma Bawang di Sungai Asap pada 15 April dan Rumah Umpang pada 18 April.

“Dalam kejadian di Rumah Chandi yang dihuni oleh 230 orang, seorang orang kelainan upaya (OKU) rentung dan seorang lagi cedera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, seorang lagi penghuni dilaporkan cedera dalam kebakaran di Uma Bawang yang dihuni oleh 407 orang.

  • oleh
  • Advertisement