Anda di sini

Letakkan Muis sebagai penaung

Advertisement
ARIFIN ARIF
ARIFIN ARIF

Penyelaras kepada jabatan dan agensi serta NGO Islam di Sabah

KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut Datuk Arifin Arif berharap kerajaan negeri meletakkan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) sebagai penaung dan penyelaras kepada jabatan dan agensi serta NGO Islam di negeri ini.

Ini termasuk juga jabatan, agensi dan NGO Islam dari pusat seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

" Dengan ada satu badan penyelaras yang khusus, segala program dan gerakan dakwah akan dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan kemaskini tanpa sebarang pertindihan dan ia turut memberi kesan yang lebih mapan dan positif dalam usaha kita memperkasakan gerakan dakwah di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan bagi menyokong dua Rang Undang-Undang yang dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis.

Antaranya Enakmen Mahkamah Syariah (Pindaan) dan Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (Pindaan) 2019.

Rang Undang Undang tersebut dibentangkan oleh Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar di mana ianya mendapat sokongan dari ahli ahli Dewan dan akan mula dikuat kuasakan pada 20 Mei ini.

Dalam pada itu Arifin juga berharap kerajaan negeri turut meminta kerajaan pusat meneruskan penglibatan wakil Sabah sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim sepertimana amalan sebelum ini.

" Ini penting untuk penyelarasaan dakwah dan pengurusan Yadim di Sabah," jelas beliau.

Selaras dengan pindaan RUU ini, Arifin juga melahirkan harapan kepada kerajaan negeri agar dapat meletakkan (Muis) sebagai pemangkin kepada pemantapan dan pelaksanaan pegangan Ahlus Sunnah Waljamaah dalam perundangan, fatwa, pentadbiran, pendidikan, dakwah dan pengimarahan masjid.

"Akidah Ahlus Sunnah Waljamaah berlandaskan Rahmatallil Alamin, wasatiyah dan menolak unsur-unsur ekstrmsme dan segala bentuk tindakan ganas dan melampau," katanya.

Tambah Arifin dengan wujud satu badan yang menaungi dan menyelaras jabatan, agensi dan NGO Islam di negeri ini akan dapat menguruskan sistem pengurusan berkualiti dalam hal ehwal Islam bagi merealisasikan penghayatan Islam sebagai Ad-Din melalui penyelidikan, pendidikan dan penggunaan teknologi maklumat.

Advertisement