Anda di sini

Klopp tidak sabar berdepan Barca di peringkat separuh akhir

Advertisement
 Klopp (kiri) meraikan kemenangan bersama Henderson sebaik wisel penamat dibunyikan. — Gambar AFP
MALAM HEBAT: Klopp (kiri) meraikan kemenangan bersama Henderson sebaik wisel penamat dibunyikan. — Gambar AFP

PORTO, Portugal: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui beliau tidak sabar untuk mengemudi Liverpool ke perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona selepas melihat anak buahnya membelasah Porto 4-1 di gelanggang lawan untuk melengkapkan kemenangan agregat 6-1 pada perlawanan suku akhir Rabu lepas.

Pada malam yang lembap di Estadio do Dragao, Liverpool mengharungi asakan awal dari Porto sebelum menjaringkan gol pada cubaan pertama sebelum 30 minit permainan apabila Sadio Mane membuka jaringan, yang hanya dibenarkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Selepas membawa kelebihan 2-0 dari perlawanan pertama, Liverpool sudah menamatkan cabaran Porto tetapi Mohamed Salah, pemain gantian Roberto Firmino dan Virgil van Dijk menambah jaringan selepas rehat.

Eder Militao menjaringkan gol sagu hati tuan rumah ketika berbaki 21 minit permainan tetapi ia adalah satu lagi malam mengecewakan buat Porto selepas tewas 0-5 kepada lawan yang sama setahun yang lalu.

Liverpool kini akan menentang Barcelona untuk pertemuan pertama kedua-dua pasukan sejak pertemuan pusingan kedua 2006/2007 di mana Liverpool menang dengan peraturan gol di tempat lawan.

“Saya tidak sabar dengan perlawanan ini. Berita di mana ada perlawanan bola sepak sempurna di antara Liverpool dan Barcelona adalah hebat,” kata Klopp ketika pasukannya menghampiri kemaraan ke final buat tahun kedua berturut-turut.

“Untuk melangkah ke separuh akhir pada tahun kedua berturut-turut adalah satu kenyataan besar. Saya benar-benar bangga dengan apa yang dilakukan oleh pemain.”

Pada malam di mana impian empat kejuaraan buat Manchester City berakhir, impian kejuaraan berganda Liga Juara-Juara dan Liga Perdana masih kekal buat Liverpool dan penyokong mereka, di mana semangat mereka tidak terjejas dengan hari hujan di Porto.

Ia adalah perlawanan ke-17 tanpa kalah dan kemenangan kelapan berturut-turut walaupun Barca bakal memberikan ujian lebih sukar berbanding Porto.

Perlawanan separuh akhir pertama akan berlangsung dalam dua minggu lagi dan buat masa ini, tumpuan Liverpool ialah dalam Liga Perdana dengan perlawanan menentang Cardiff City dan Huddersfield selepas ini.

“Malam ini kami ke separuh akhir dan kami akan menentang Cardiff Ahad ini. ia pastinya tumpuan sepenuh di fikiran kami apabila saya bangun tidur esok dan bukannya perlawanan menentang Barcelona,” tegas Klopp.

Dengan banyak perlawanan yang perlu diharungi, Klopp melakukan tiga pertukaran dari skuad yang menewaskan Chelsea 2-0 Ahad lepas dengan Firmino dan Nabi Keita diletakkan di bangku simpanan bersama-sama Jordan Henderson.

Georginio Wijnaldum, James Milner dan Divock Origi mengisi tempat sebelum Origi digantikan oleh Firmino pada masa rehat.

Origi jarang mendapat bola ketika Porto mengasak pada awal permainan dengan satu cubaan Jesus Corona sedikit tinggi dari palang pada minit pertama.

Mereka melakukan 13 cubaan lain ke pintu gol pada 25 minit pertama tetapi pastinya berasa kesal kerana gagal menyempurnakan salah satu dari cubaan itu.

“Ada aksi yang menarik dan mereka (Porto) menggunakan sepenuh peluang bermain di tempat sendiri, memaksa kami bekerja-keras mencari rentak,” kata Klopp.

“Porto memerlukan gol awal dan mereka gagal melakukannya. Saya berasa sangat gembira dan ia adalah penting untuk meneruskan kemaraan.”
Gol pembukaan hadir apabila Salah mengumpan bola kepada Mane untuk gol ke-22 beliau musim ini.

Penjaga garisan mengangkat bendera menandakan ofsaid tetapi pengadil membuat semakan VAR sebelum mengesahkan gol itu. — AFP

Advertisement