Anda di sini

Belia sambut baik pelan penerbangan terus Guangzhou-Tawau

Advertisement
SURYADY, EBY, AHSAN
SURYADY, EBY, AHSAN

TAWAU: Gabungan Persatuan Belia Bahagian Tawau (GPBBT) sambut baik pelan kerajaan memperkenalkan penerbangan terus Guangzhou, China-Tawau, yang dijadual bermula Julai tahun ini.

Pengerusi GPBBT Andi Muhd Suryady Bandy optimis inisiatif itu akan merancakkan lagi kedatangan pelancong sekaligus memperkasakan ekonomi penduduk setempat di Tawau.

“Kita berharap kerajaan dapat memastikan pelancong China tidak hanya tertumpu ke Semporna, sebaliknya turut singgah ke tempat-tempat pelancongan lain yang ada.

“Misalnya, di Tawau dan Lahad Datu yang mempunyai tarikan pelancongan seperti keindahan alam semulajadi, keunikan flora dan faunanya,” katanya di sini hari ini.

Suryady berkata, golongan belia juga perlu mengambil peluang dengan perkembangan itu menerusi penawaran produk atau perkhidmatan untuk ditawarkan kepada pelancong.

Pada masa sama, beliau percaya usaha bersama peniaga-peniaga belia dapat dilonjakkan lagi jika hubungan kerjasama strategik dua hala dengan kerajaan dapat diwujudkan.

“Kita melihat banyak peluang ekonomi yang berpotensi, seperti pengangkutan, makanan dan minuman, penginapan, kraftangan, cenderamata dan pemandu pelancong,” katanya.

Menurutnya, industri hiliran juga diyakini akan menerima impak paling besar, namun kemudahan infrastruktur perlu dipastikan dapat memenuhi keperluan pelancong bercuti.

Antaranya, berkaitan kelengkapan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, yang dikhuatiri boleh mempengaruhi kecenderungan pelancong, jika kurang memuaskan.

Pengerusi Kelab Belia Perdana Kg Air Semporna merangkap Timbalan Pengerusi GPBBT Aby Zeehad Abdullah Sani berharap belia dapat diberikan peranan aktif.

“Golongan belia harus merebut peluang-peluang yang terbuka untuk menjana ekonomi terutama mengembangkan perniagaan seperti penginapan, homestay, resort atau hotel.

“Kemudahan-kemudahan yang ada juga perlu dinaik-taraf untuk keselesaan pelancong serta menjadikan teras pelancongan berkonsepkan kebudayaan sebagai intipati utama.

“Kita juga berharap akan lebih ramai belia yang diberikan pendedahan melalui kursus khas industri pelancongan seperti pemandu pelancong dan ‘master dive’,” katanya.

Aby percaya Semporna sebagai ‘World Class Destination’, akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong-pelancong yang bercuti di daerah berkenaan.

Namun beliau berharap Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Sabah mempermudahkan permohonan lesen pemain pelancongan untuk belia.

“Kita amat berharap golongan belia akan diberikan insentif khas serta modal permulaan untuk berkecimpung di dalam industri pelancongan sebagai pemain aktif,” katanya.

Presiden Persatuan Usahawan Belia Tawau (PUBT) yang juga Bendahari GPBBT Ahsan M Idris menyifatkan perkembangan itu sebagai perkhabaran gembira untuk warga Tawau.

Ahsan percaya impak ekonomi untuk Wilayah Selatan seperti Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Kalabakan akan menerima manfaat dalam pelbagai aspek selain ekonomi.

“Kita melihat potensi kemasukan pelancongan ini akan turut memberikan impak dari segi penambah-baikan prasarana dan kemudahan infrastruktur asas di daerah-daerah terlibat.

“Malah, membawa kepada pengenalan kemudahan baharu untuk memastikan industri pelancongan, pembangunan ekonomi serta pemuliharaan alam sekitar bergerak seimbang.

“Trend kemasukan pelancong yang besar dari China ini akan mendorong kerajaan turut menumpukan perhatian kepada aspek keselamatan khususnya di sempadan,” katanya.

Mengulas lanjut, kemasukan pelancong dalam skala besar perlu dipantau supaya jangan sampai ada yang melakukan aktiviti di luar norma kehidupan masyarakat setempat.

Beliau berharap pelancong-pelancong yang berkunjung ke negara ini juga diberikan pendedahan awal mengenai hal yang mudah menyinggung sensitiviti orang Sabah.

“Dalam keghairahan menerima kemasukan pelancong, kita perlu siap-sedia dan menilai pendekatan-pendekatan perlu untuk memastikan situasi tidak diingini daripada berlaku.

“Kita harus sedar jika perkhidmatan yang ditawarkan buruk, cukup mudah imej negara terjejas, begitu juga jika ada pelancong berkelakuan ‘nakal’ semasa berada di negara kita.

“Kita menyambut baik kehadiran mereka tetapi kita harus belajar daripada pengalaman dan perlu berwaspada khususnya jika melibatkan reputasi nama baik negara,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement